TEBEDU: Dengan visi menjadikan Sarawak sebagai wilayah maju menjelang 2030, Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), terus komited dalam membudayakan amalan integriti khususnya dalam kalangan penjawat awam Wilayah Sarawak dan di segenap lapisan masyarakat amnya.
ADUN Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr. Juanda Jaya berkata, hasil cetusan idea YAB Premier Sarawak juga, Kerajaan Sarawak kini telah berjaya melahirkan seramai Sembilan Puluh (90) Pegawai Integriti Bertauliah atau “Certified Integrity Officer” (CeIO), termasuk Sepuluh CeIO sedia ada.
“Kesemua mereka ditempatkan di pelbagai Kementerian, Jabatan, Pentadbiran Bahagian, Badan-badan Berkanun serta beberapa syarikat berkepentingan kerajaan bagi memastikan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“Selain daripada itu, Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan pekeliling mengenai penubuhan serta terma rujukan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) untuk Kementerian, Bahagian dan Jabatan di Sarawak,” ujarnya dalam ucapan Majlis Perasmian Program Jelajah Integriti Siri 1/2022 Daerah Tebedu di Dewan Masyarakat Tebedu semalam.
Jelas beliau, Kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan Unit Integriti di Kementerian, Jabatan dan Agensi untuk memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh serta meningkatkan semangat patriotik di kalangan penjawat awam.
“Salah satu fungsi utama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) adalah pengurusan aduan ombudsman. Peranan ini adalah untuk menerima pelbagai aduan dan cadangan daripada orang awam (individu) berkaitan dengan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan.
“Semua aduan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan International Ombudsman iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal,” katanya.
Tambah beliau, marilah kita sama-sama memainkan peranan masing-masing secara lebih objektif, konstruktif dan profesional demi meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
“Saya berharap, setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing dalam menjuarai integriti, bukan hanya menjadikannya sebagai salah satu daripada prinsip dan nilai kita sahaja, tetapi, juga memastikannya dalam setiap tindak- tanduk kita.
“Amalkanlah budaya berintegriti, patuhi peraturan dan undang-undang, hindari rasuah dan jalankan tugas dengan penuh telus, efisien dan efektif,” tegas beliau.
Oleh AZREEN KERIA