KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital kini meneliti langkah-langkah yang perlu diambil dalam usaha memperkukuh pematuhan undang-undang di platform media sosial.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, susulan kenyataan Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) semalam berhubung platform media sosial di Malaysia yang harus bertanggungjawab terhadap ucapan berbaur kebencian serta kandungan yang memecahbelahkan.
Beliau berkata, sesi libat urus dengan platform dan pengendali utama media sosial seperti TikTok, Telegram, Meta serta X telah dibuat bagi mengkaji beberapa perkara dalam memastikan pematuhan yang lebih baik mengikut lunas undang-undang.
“Kami berharap akan dapat membuat pengumuman penting tidak lama lagi. Saya juga telah bertemu dengan APHR dan ini adalah antara perkara yang saya bangkitkan. Di pihak kerajaan, hari ini kami sering menyaksikan kandungan yang sering kali tular namun tidak disahkan.
“Saya juga telah membaca laporan Al-Jazeera mengenai konflik Palestin-Israel yang berlarutan dan bagaimana banyak berita palsu sedang ditularkan di media sosial. Malangnya, mereka menonjolkan Malaysia sebagai contoh utama berita palsu,” katanya pada sidang media selepas Malam Anugerah Pembangunan Kapasiti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2023 di sini.
Susulan laporan Al-Jazeera itu, Fahmi berkata, MCMC telah diarah untuk meneliti perkara tersebut.
“Amat malang kerana nama Malaysia telah disebut di arena antarabangsa sebagai penyebar berita palsu mengenai konflik Palestin-Israel. Bagaimanapun, mengenai apa yang dikatakan oleh APHR, pihak kementerian dan pengawal selia pasti akan meneliti perkara ini.
“Seperti yang kita tahu, tiada satupun platform media sosial yang didaftar atau dilesenkan oleh MCMC. Kami perlu memastikan semuanya teratur jadi berikan kami sedikit masa dan kami akan membuat satu pengumuman tidak lama lagi,” katanya.
Mengulas pertemuan dengan TikTok di Parlimen petang semalam, beliau berkata, butirannya akan dikongsi melalui kenyataan akhbar hari ini.
Menyentuh majlis anjuran MCMC malam ini, Fahmi berkata, ia adalah bagi meraikan pencapaian individu dan organisasi yang telah menyertai serta menyokong program pembanguna kapasiti suruhanjaya itu.
Beliau berkata, acara itu turut membuktikan komitmen MCMC dalam memastikan sumber tenaga kerja yang mahir, modal pengetahuan dan pembangunan keupayaan serta kemahiran bagi industri komunikasi dan multimedia.
“Saya juga menggesa pemain industri untuk bersama-sama memainkan peranan penting dalam membangunkan kapasiti untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan pasaran. Bersama-sama kita boleh membina industri yang bertenaga dan berdaya saing yang mampu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi Malaysia,” katanya.
Anugerah itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Anugerah Peserta Cemerlang untuk Kelas Master Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bergabung (CTPR) 2023 serta Anugerah Pengiktirafan Pengerusi MCMC bagi Penyertaan Tertinggi Program Pembangunan Kapasiti (CDeP) 2023.
Antara pemenang bagi kategori CTPR ialah Rachel Chan Wai Lai (MCMC) dan Khairul Akmal Zahri (TM) manakala bagi kategori CDeP adalah Agensi Nuklear Malaysia, Maxis Broadband Sdn Bhd serta Kementerian Kesihatan.
Pada majlis itu, Fahmi turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara MCMC dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) iaitu bagi program pembangunan bersama kemahiran antara MCMC dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang. – Bernama