Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kerajaan teliti dakwaan pengusaha stesen minyak tanggung kerugian – Anwar
  • NASIONAL

Kerajaan teliti dakwaan pengusaha stesen minyak tanggung kerugian – Anwar

Utusan Sarawak 5 hours ago
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut dan mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak berhubung dakwaan bahawa pengusaha stesen minyak menanggung kerugian semasa peralihan pelaksanaan penambahbaikan subsidi bahan api sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menghargai kerjasama syarikat dan stesen minyak dalam menjayakan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel. 

“Merujuk kepada permasalahan yang dibangkitkan, saya akan minta Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak.

“Setakat ini mereka memberi kerjasama penuh, kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan. Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, Insya-Allah kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang membangkitkan isu pengusaha stesen minyak didakwa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika peralihan harga bahan api bersubsidi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan sebelum ini tidak mahu tergesa-gesa melaksanakan penambahbaikan subsidi diesel kerana perlu mengambil kira keadaan di Sabah dan Sarawak yang lebih kompleks berbanding Semenanjung.

Beliau berkata penggunaan diesel yang lebih tinggi, faktor jarak di kawasan pedalaman serta bilangan stesen minyak yang lebih terhad di sana memerlukan penelitian sebelum sebarang dasar baharu dilaksanakan. 

Selain itu, Perdana Menteri berkata penambahbaikan program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang membolehkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip memohon tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter telah menjadikan jumlah kelayakan keseluruhan kepada 300 liter sebulan.

Beliau berkata hingga semalam, kira-kira 200,000 permohonan tambahan kuota tersebut daripada warganegara telah diluluskan. – Bernama

Continue Reading

Previous: DOSM perkenal kalkulator PAKW khas untuk OKU, pesakit dan warga emas
Next: Kerajaan teliti mekanisme perlindungan menyeluruh kepada mangsa jenayah siber

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.