
BANGI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengambil langkah proaktif dengan menyemak semula skim gaji warga pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi memartabatkan peranan serta memastikan kebajikan golongan itu lebih terjamin.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kebajikan pendidik KEMAS sama ada dari segi elaun, peluang kenaikan pangkat, perlindungan sosial atau pengiktirafan mesti dijaga dan perlu disusun sebaiknya.
“Untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang kita mesti bermula dengan memartabatkan pendidiknya. Kita tidak boleh mengharapkan hasil luar biasa jika pendidiknya masih dibekalkan dengan kemampuan yang biasa-biasa.
“Sebab itu, saya mahu penambahbaikan strategik terhadap warga pendidik KEMAS dilaksanakan secara menyeluruh dan berfasa,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Desa ketika berucap pada perasmian Sambutan Hari Pendidik KEMAS, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man.
Beliau yakin dengan sokongan berterusan, latihan yang berfokus dan ekosistem kerja yang menghargai tenaga pengajar, negara mampu melahirkan pendidik KEMAS yang lebih dinamik, berdaya saing dan terus kekal sebagai tulang belakang pendidikan komuniti di Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata KKDW turut menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu taman bimbingan kanak-kanak (tabika) bagi anak berkeperluan khas di setiap daerah seluruh negara menjelang 2027.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan anak-anak berkeperluan khas tidak ketinggalan daripada menerima didikan sejak dari kecil menerusi pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa@KEMAS yang bermula tahun ini.
“Inisiatif ini akan bermula di Melaka pada tahun ini…insya-Allah kita cuba pastikan tiada anak Malaysia yang tercicir daripada akses kepada pendidikan awal, walaupun serba kekurangan,” katanya.
Mengenai Smart Classroom@KEMAS yang merupakan projek rintis bilik darjah pintar diperkenalkan KEMAS, Ahmad Zahid berkata ia merupakan satu pengubah keadaan yang akan mengangkat sistem pendidikan awal negara ke era digital.
“Hasrat saya ialah supaya sekurang-kurangnya satu tabika pintar diwujudkan di setiap daerah menjelang 2026,” katanya yang berharap agar pendidikan berasaskan kemahiran seperti pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dapat dimulakan sejak peringkat awal.
Sementara itu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan lain yang dicapai KEMAS antaranya melahirkan 61,032 huffaz cilik menerusi Program Pra-Tahfiz Kemas di 4,229 cawangan.
“Program ini adalah satu kejayaan yang saya anggap sebagai pengubah keadaan dalam sistem pendidikan awal negara. Bermula dengan hanya 100 tabika pada 2023, program ini telah berkembang dengan pesatnya.
“Insya-Allah, menjelang tahun 2026, kita menyasarkan lebih 9,700 Tabika KEMAS akan terlibat dengan penglibatan lebih 145,000 huffaz cilik, melepasi sasaran 140,000 yang kita telah tetapkan,” katanya.
Beliau turut berkata setakat ini, KEMAS mengendalikan 10,567 tabika dan 577 taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh negara, menyantuni seramai 221,012 pelajar kecil dari pelbagai latar belakang.– Bernama