Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan negeri, sektor swasta perlu bertanggungjawab tambah hotel, wujudkan pasar malam kekal di Sarawak
  • SEMASA

Kerajaan negeri, sektor swasta perlu bertanggungjawab tambah hotel, wujudkan pasar malam kekal di Sarawak

Utusan Sarawak 3 hours ago
MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Tujuh Mural bersempena 100 Tahun Padungan, di Lorong 6, Jalan Padungan, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

KUCHING: Kerajaan negeri dan sektor swasta perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pembangunan lebih banyak hotel di bandar raya ini bagi menampung peningkatan pelancong susulan promosi dan penganjuran pelbagai acara berskala besar.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, terdapat dua pihak yang perlu dipertanggungjawabkan dalam perkara itu iaitu kerajaan dan pihak swasta.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu sentiasa bersedia meluluskan pembinaan hotel pelbagai kategori termasuk hotel lima bintang, empat bintang, tiga bintang serta rumah tumpangan.

“Pengunjung yang datang untuk acara perniagaan biasanya memilih hotel lima bintang, manakala peserta maraton atau pelancong biasa mungkin memilih hotel tiga atau empat bintang. 

Apabila banyak acara dianjurkan, sudah tentu lebih ramai pelawat dari dalam dan luar Sarawak, termasuk dari Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran mural warisan di Padungan, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh membina hotel sendiri dan menyerahkannya kepada agensi pembangunan untuk diuruskan, sebaliknya inisiatif itu perlu digerakkan sektor swasta.

“Kita mahu melihat pendekatan lebih agresif daripada pengusaha hotel untuk membangunkan lebih banyak hotel di Kuching bagi menampung promosi yang kita laksanakan. Promosi yang kita lakukan bukan untuk setahun, tetapi unjuran lima hingga 10 tahun akan datang,” jelasnya.

Beliau turut menjangkakan lonjakan ketara jumlah pelawat dalam beberapa tahun akan datang apabila lebih banyak acara diadakan di bandar raya ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim sekali lagi menyuarakan hasrat melihat pasar malam diwujudkan secara tetap bagi menjadikan Kuching lebih meriah dan menarik pada waktu malam.

Menurutnya, kementerian dan agensi di bawahnya hanya mampu memudah cara, manakala pelaksanaan perlu digerakkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Kawasan seperti Jalan Padungan sangat sesuai. Kita boleh tutup separuh jalan atau jadikannya jalan pejalan kaki pada hujung minggu, mungkin bermula Jumaat dan Sabtu. Polis boleh bantu alih laluan trafik dan orang ramai akan menyesuaikan diri,” katanya.

Beliau percaya pasar malam mampu menjadi tarikan pelancongan utama dengan mempamerkan makanan tempatan, produk tempatan serta kraftangan.

“Kalau ke Korea atau Jepun, pasar malam adalah lokasi wajib dikunjungi. Kita juga lihat ketika Pesta Kuih Bulan di Jalan Carpenter atau Festival Kuching, orang ramai membanjiri kawasan tersebut. Makanan memang tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat kerana semua orang sukakan makanan,” katanya.

Turut hadir Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Pasangan Diraja Brunei kongsi gambar Puteri Zahra
Next: Timbalan KPN tinjau sempadan Malaysia-Indonesia di Ba’kelalan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.