
SELANGAU: Kerajaan terus giat menjadikan Daerah Selangau sebagai pusat penanaman kopi menerusi agihan sebanyak 30,000 anak benih kepada penduduk setempat sepanjang tahun ini.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, inisiatif ini sebagai usaha untuk menggalakkan penanaman komoditi bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan berterusan kepada penduduk luar bandar.
Menurutnya, penanaman kopi akan membuka ruang kepada pembangunan aktiviti hiliran seperti pemprosesan, penjenamaan dan pemasaran hasil.
“Kita tidak hanya mahu penduduk menanam, tetapi memahami keseluruhan nilai industri kopi dari ladang hingga ke pasaran,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke Selangau, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, satu lawatan khas ke ladang dan kilang kopi sedang dirancang bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman secara langsung mengenai pengurusan dan pemprosesan kopi secara profesional kepada para peserta yang terlibat.
Katanya, pembangunan luar bandar harus dirangka secara menyeluruh, merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Sokongan terhadap usaha seperti penanaman kopi bukan sekadar pertanian semata-mata, ia merupakan salah satu langkah konkrit untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar terus berkembang seiring dengan kemajuan negara,” kata beliau.
Semasa lawatan kerja tersebut, beliau telah meluangkan masa menyantuni masyarakat menerusi kehadirannya di pelbagai program termasuk Majlis Perasmian Persatuan Penduduk Ulu Arip dan Majlis Silang Budaya anjuran PIBG SK Nanga Kua di Sibu.
Oleh Akun Giman