BELAGA: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha mencari dana untuk kelangsungan pembangunan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuklah dana tambahan memastikan masa depan Sarawak cerah untuk membangunkan projek di negeri ini.
“Saya jadi Ketua Menteri lebih tiga tahun dan dalam masa tiga tahun kita telah mengambil alih Empangan Bakun daripada Kerajaan Pusat ke Sarawak.”
“Juga saya dan rakan-rakan dalam kabinet berusaha dan bekerja untuk menambahkan pendapatan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Masjid Daerah Belaga dan Perasmian Waterfront Belaga bertempat di Dataran Belaga, semalam.
Menurutnya, pembangunan tersebut adalah hasil kerjasama di antara rakyat dan kerajaan.
“Memang benar kita bangunkan Bakun dan memang benar kita bangunkan Murum dan bangunkan Baleh.”
“Tetapi untuk melaksanakan projek tersebut memerlukan dana yang besar,” katanya.
Tambahnya, kerajaan terpaksa meminjam wang untuk membangunkan empangan yang menelan kos berbilion ringgit itu.
“Sebab itu daripada sudut pengurusan kewangan kita hendaklah seimbang dan apa yang dapat kita beri akan beri dan selebihnya untuk membayar hutang.”
“Dalam jangka masa tertentu hutang itu akan kita beres. Kita tidak ada hutang dan waktu itulah kalau kita nak minta kita mintalah,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam & DBKU) dan Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan ADUN Murum, Kennedy Chuk.