
SARIKEI: Kepimpinan kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat terus diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Sarawak amat bertuah kerana diterajui oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa komited memperjuangkan kebajikan rakyat melalui usaha berterusan termasuk penyaluran dana dan peruntukan sebagai modal pembangunan negeri, khususnya di kawasan luar bandar seperti Bintangor dan Sarikei.

“Pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan dan memberi manfaat besar kepada rakyat, antaranya projek Jalan Sarikei–Tanjung Manis dan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaik taraf kemudahan sekolah, tokong, gereja, rumah panjang dan pelbagai prasarana komuniti.
“Tahun lalu kerajaan Sarawak telah melangkah dengan penuh tekad dan iltizam demi kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif, termasuk memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.
“Pelaksanaan pendidikan tinggi percuma juga bermula tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) bertempat di Dewan Sentral di sini, semalam.

Katanya, kerajaan Sarawak turut memperkasa pembangunan ekonomi hijau dan mampan dan menyumbangkan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah melalui Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
“Semua usaha ini lahir daripada keprihatinan kerajaan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan dan kesejahteraan bersama.
“Saya menggesa agar kita terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, memainkan peranan masing-masing dan bersatu padu dalam membina negeri yang makmur.
“Dengan semangat keberanian, ketekunan dan kesungguhan, marilah kita menghadapi cabaran dengan semangat juang yang tinggi serta merebut peluang ke arah kesejahteraan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Sii turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat, sambil mendoakan agar tahun baharu membawa kebahagiaan, kesihatan yang baik, kemakmuran dan kejayaan berpanjangan.
Turut hadir Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong.
Oleh Earl Anek