
KUCHING: Sarawak terus muncul sebagai contoh terbaik perpaduan masyarakat berbilang agama, hasil komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh keharmonian dan saling menghormati antara penganut pelbagai kepercayaan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, perpaduan dan pendidikan merupakan asas utama kemajuan rakyat serta teras kepada kestabilan negeri.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa memastikan semua komuniti agama di Sarawak mendapat ruang, sokongan dan pengiktirafan sewajarnya menerusi Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR).
“Melalui UNIFOR, kerajaan memastikan setiap komuniti agama dapat hidup aman dan bekerjasama dalam suasana saling hormat serta persefahaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Suci Kembar (Twin Holy Days) Komuniti Bahá’í Sarawak di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam ini.

Beliau turut memuji peranan komuniti Bahá’í Sarawak yang sejak kehadirannya pada 1951 konsisten mengamalkan nilai kesatuan dan khidmat masyarakat yang menyumbang kepada keharmonian negeri.
“Ajaran Bahá’í yang menekankan kesatuan umat manusia dan kepentingan pendidikan sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri dalam melahirkan masyarakat berilmu serta berakhlak tinggi,” ujarnya.
Turut hadir Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau, Pengerusi Perhimpunan Rohani Bahá’í Sarawak, Dr Shehab Phung Chee Wei serta tetamu kehormat lain.
Oleh Masrin Affirah