
MIRI: Kerajaan Sarawak terus memberi peluang kepada usahawan tempatan memperkukuh perniagaan mereka, dengan lebih 59,900 usahawan menerima manfaat pelbagai inisiatif bernilai lebih RM220 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, usaha memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan diteruskan melalui program sokongan bersasar dan dasar inklusif menjelang 2026 dan seterusnya.
“Kerajaan mahu memastikan golongan usahawan tempatan mampu merebut peluang baharu, meningkatkan daya saing serta menyesuaikan diri dengan ekosistem perniagaan yang semakin berorientasikan digital,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pembangunan Usahawan Dan Transformasi Digital 2025 anjuran Persatuan Jatti Miriek Miri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) di sini petang ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.


Program berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan asas mengenai keusahawanan kepada komuniti setempat, khususnya masyarakat Jatti Miriek, serta membimbing peserta mentransformasikan perniagaan mereka melalui platform digital.
“Program ini selari dengan fokus kerajaan Sarawak untuk meningkatkan penglibatan rakyat dalam bidang keusahawanan, yang berperanan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk,” katanya.
Beliau berkata program tersebut menerima lebih 270 penyertaan melibatkan usahawan Bumiputera, golongan belia dan wanita dari sekitar Miri, menandakan minat tinggi masyarakat terhadap bidang keusahawanan.
“Kerajaan Sarawak melalui MINTRED menyediakan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan usahawan,” katanya.
Antara inisiatif tersebut adalah Program GERAK dan USTEV – Geran sehingga RM20,000 kepada graduan dan individu berkemahiran teknikal.
Program Go Digital – Geran sehingga RM10,000 bagi pembelian perkakasan, perisian serta perkhidmatan digital.
Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) – Pembiayaan bagi membantu PMKS mengembangkan perniagaan.
Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) – Pembiayaan modal kerja, pembelian mesin, peralatan atau pengubahsuaian premis.
Program Pembangunan Kapasiti dan Promosi – Telah membantu lebih 29,700 usahawan meningkatkan kemahiran dan memasarkan produk.
Program Jum REGISTA Bisnes – Membantu 5,791 usahawan informal mendaftarkan perniagaan mereka.
Awang Tengah berkata, keseluruhan inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 59,900 usahawan di Sarawak dengan jumlah bantuan melebihi RM220 juta.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama strategik antara kerajaan dan persatuan komuniti, termasuk Persatuan Jatti Miriek Miri, dalam usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan melalui latihan, pembangunan kemahiran dan sokongan pasaran.
Oleh Liong Chai Ling