
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak akan terus memperkasa pembangunan bola sepak negeri sebagai platform melahirkan lebih ramai pemain profesional pada masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sokongan berterusan terhadap penganjuran kejohanan seperti Perlawanan Akhir Piala Premier 2025 membuktikan komitmen kerajaan dalam memajukan sukan tersebut di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perlawanan akhir yang menemukan pasukan Bintulu FA dan Samarahan FA di Stadium Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, anak-anak dari setiap bahagian di Sarawak mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai pemain bola sepak profesional sekiranya diberi pendedahan dan latihan secara sistematik.
“Kita menyokong setiap usaha yang dilakukan bersama anak-anak Sarawak termasuk persatuan sukan dan agensi kerajaan negeri untuk melahirkan pemain bola sepak profesional pada masa depan,” katanya.
Premier Sarawak turut meluangkan masa pada hujung minggu menyaksikan aksi final berkenaan bersama cucu kesayangannya.
Ketibaan beliau bersama cucu serta tetamu kehormat disambut sorakan gemuruh ribuan penyokong yang membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden Kuching City FC merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzruddin Abdul Rahman atas inisiatif menganjurkan kejohanan tersebut dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) serta agensi berkaitan.
Beliau turut menzahirkan rasa gembira atas pencapaian Kuching City FC yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan DPMM dari Brunei dengan agregat besar.
“Malam tadi kita sah masuk separuh akhir dan kemungkinan akan berdepan dengan Selangor. Jangan takut, ada keyakinan dan lawan dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Tambah beliau, peningkatan prestasi pasukan tempatan membuktikan pelaburan berterusan kerajaan dalam kemudahan sukan, pembangunan bakat serta program latihan yang lebih tersusun mula menampakkan hasil positif.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua penyokong bola sepak Sarawak. Kerajaan akan sentiasa membantu dan saya yakin kita akan dapat melihat lebih ramai pemain handal dari Sarawak sama ada di peringkat dalam atau luar negeri,” katanya.
Perlawanan akhir tersebut bukan sahaja menjadi pentas menentukan juara, malah simbol kebangkitan bola sepak Sarawak yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air.
Juara Piala Premier 2025 membawa pulang trofi kejuaraan, pingat, sijil penyertaan serta hadiah wang tunai RM50,000 manakala naib juara menerima RM30,000 berserta trofi, pingat dan sijil. Pasukan tempat ketiga bersama pula menerima trofi, pingat, sijil serta wang tunai RM10,000.
Selain itu, penyokong yang hadir turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk televisyen 55 inci, motosikal dan telefon bimbit yang disediakan pihak penganjur.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang.
Oleh Shikin Mahmud