
KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempercepatkan transformasi pentadbiran ke arah tadbir urus pintar dan mampan sejajar dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, PBT memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pembangunan Sarawak dengan menekankan aspek inovasi, kelestarian dan penyampaian berpusatkan rakyat.
“Kita sedang bergerak ke arah bandar pintar dan mampan, dan di bawah PCDS 2030.
“PBT perlu menjadi pemacu utama kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Ahli-ahli Majlis, di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata kerajaan negeri kini menumpukan kepada usaha memperkukuh transformasi digital dalam pentadbiran tempatan.
“Ini termasuk pelaksanaan sistem e-Council, penggunaan infrastruktur hijau dan penambahbaikan perkhidmatan berasaskan keperluan rakyat.
“Kita mesti memastikan majlis tempatan mengamalkan tadbir urus digital, memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan melibatkan komuniti dalam proses membuat keputusan.
“Langkah tersebut penting bagi memastikan PBT di Sarawak bergerak seiring dengan perkembangan global, seterusnya menjadi model tadbir urus tempatan yang progresif dan mampan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan PBT tidak bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya berpaksikan kepada kerjasama antara ahli majlis, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
“Setiap ahli majlis mewakili kepelbagaian dan perpaduan Sarawak. Bersama-sama, kita mesti memastikan pembangunan sampai ke setiap pelusuk negeri dari Kuching ke Limbang, dari pesisir ke pedalaman.
“Saya menggesa agar semua ahli majlis menjadikan seminar ini sebagai platform pembelajaran dan perkongsian ilmu, selain memperbaharui komitmen terhadap khidmat awam dan penambahbaikan komuniti masing-masing.
“Ahli majlis ialah pembina komuniti dan ejen perubahan. Gunakan peluang ini untuk meneroka idea baharu bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan tempatan dan membina Sarawak yang lebih makmur,” tambahnya.
Seminar tersebut menghimpunkan 864 ahli majlis daripada 27 PBT seluruh Sarawak, termasuk tiga majlis baharu iaitu Majlis Daerah Gedong, Siburan dan Sebuyau.
Seminar anjuran Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) itu bertujuan memberi pendedahan kepada ahli majlis mengenai dasar kerajaan negeri, amalan tadbir urus terbaik, serta pendekatan baharu dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan.
Oleh Masrin Affirah & Shahrul Qaizat