
KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak memandang serius dakwaan salah laku yang membabitkan beberapa klinik panel di bawah pelaksanaan program Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran terma perjanjian serta garis panduan yang ditetapkan.
Menurut kenyataan rasmi JKM Sarawak pada 16 Disember lepas, SCHB merupakan inisiatif kerajaan Sarawak yang menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai di klinik panel terpilih dengan had maksimum RM500 setahun bagi setiap penerima.
Hal ini bertujuan bagi memastikan warga emas mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan beretika.
Bagaimanapun, berdasarkan aduan rasmi serta pemantauan pegawai di lapangan, pihak kementerian mendapati terdapat segelintir klinik panel yang disyaki melakukan beberapa salah laku, antaranya memberikan perkhidmatan kesihatan serta produk perubatan yang tidak diluluskan di bawah Memorandum Perjanjian (MOA), membenarkan penggunaan kuota SCHB oleh individu tidak layak termasuk ahli keluarga penerima, serta ketidakselarasan antara perkhidmatan atau ubat yang diberikan dengan item yang disenaraikan dalam resit pesakit.
“Tindakan ini jelas menunjukkan ketidakpatuhan terhadap garis panduan tuntutan MOA, penyediaan perkhidmatan yang tidak selaras dengan piawaian klinikal yang diluluskan serta penyalahgunaan kemudahan dan peruntukan di bawah program SCHB,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kerajaan Sarawak akan melaksanakan tindakan tegas berlandaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, termasuk menjalankan audit pematuhan dan siasatan dalaman terhadap klinik panel terlibat, penggantungan sementara status sebagai klinik panel SCHB, siasatan ke atas tuntutan invois serta larangan menerima pesakit yang menggunakan kelayakan SCHB sepanjang tempoh siasatan.
Kerajaan turut menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang pelanggaran terma perjanjian, etika profesional atau undang-undang sedia ada, dan tindakan sewajarnya akan diambil tanpa prejudis selaras dengan peruntukan berkuat kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, setakat ini sebanyak 286 klinik berdaftar di bawah program SCHB, merangkumi 177 klinik perubatan, 97 klinik pergigian dan 12 hospital pakar.
Daripada jumlah itu, tiga klinik masing-masing di Sarikei, Mukah dan Miri telah dikenakan surat amaran, manakala sebuah klinik di Kuching dikenakan penggantungan sementara.
Pada masa sama, kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa kebajikan serta kesinambungan rawatan warga emas di bawah program SCHB akan terus dipelihara, selain menegaskan komitmen untuk memperkukuh mekanisme pemantauan, kawal selia dan penambahbaikan dasar bagi memastikan pelaksanaan program kekal berintegriti dan berkesan.
Perkembangan lanjut berkaitan perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.