
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak tidak akan membenarkan sebarang bentuk hiburan keterlaluan, khususnya yang melibatkan elemen LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dibawa masuk atau dipertontonkan dalam mana-mana penganjuran acara awam di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pendirian tegas itu selari dengan tanggungjawab kerajaan negeri untuk melindungi budaya, adat serta sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Menurut beliau, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang persembahan yang bercanggah dengan undang-undang atau nilai tempatan, walaupun dianjurkan oleh pihak swasta tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.
“Kerajaan ada kuasa. Mana boleh buat tarian bogel. Itu tidak dibenarkan. Kita ada undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Jabat Sejagat di Perkampungan Sukan Sarawak, di sini hari ini.
Beliau menegaskan, sekiranya mana-mana penganjuran hiburan melibatkan unsur tidak senonoh atau melampaui batas, tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa.
“Kalau perkara seperti itu berlaku, saya berharap kerajaan mengambil tindakan, polis mengambil tindakan dan jabatan agama juga mengambil tindakan,” katanya.
Abdul Karim berkata, penganjur tidak seharusnya menggunakan alasan kebebasan menganjurkan acara tanpa dana kerajaan untuk membawa masuk sebarang bentuk hiburan yang mencetuskan keresahan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa semua program awam perlu diteliti dari segi pengisian sebelum kelulusan diberikan bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan undang-undang serta norma masyarakat tempatan.
Oleh Shahrul Qaizat