KUCHING: Semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dengan kos penginapan kuarantin dan ujian Covid-19 akan dibayar oleh Kerajaan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan memutuskan bahawa semua rakyat yang balik dari luar negara dan menjalani kuarantin wajib serta saringan perlu membayar sendiri kos tersebut.
“Namun , Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Tun Openg telah memutuskan bahawa anak Sarawak yang balik dari luar negara dikuarantin dan menjalani ujian adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
“Dalam tempoh tersebut, mereka akan menjalani dua kali ujian Covid-19 pada hari ke-2 dan hari ke-10,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini, semalam.
“Manakala, bagi bukan rakyat Sarawak (Semenanjung, Sabah, Labuan dan Bukan Warganegara) yang balik dari luar negara masuk ke Sarawak, mereka akan membayar sendiri kos kuarantin dan kos ujian Covid-19.
“Arahan ini berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkembangan berlainan, Uggah berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pusat hiburan berlesen yang ingin beroperasi.
“Namun, mereka perlu mematuhi SOP karaoke yang disediakan dan arahan ini berkuatkuasa mulai 20 Ogos ini.
“Pihak kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik lesen perniagaan mereka yang tidak mematuhi SOP ini,” tegasnya
Tambahnya, bagi aktiviti indoor busking pula perlu berpandukan SOP Live Event yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak dan arahan turut berkuat kuasa mulai 20 Ogos ini.