KUCHING: Kerajaan Sarawak menyumbang empat kenderaan pacuan empat roda bernilai RM639,934 kepada Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) bagi memperkasakan usaha membanteras penyeludupan dadah di kawasan sempadan negeri berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata selain itu kerajaan negeri turut memperuntukkan geran bernilai RM1.7 juta untuk pembelian 19 unit Pengesan Dadah Visual Segera dan dua unit pengimbas handheld backscatter bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi pembanterasan dadah.
Beliau berkata dalam mengukuhkan lagi usaha membanteras penyalahgunaan dadah, 12 jawatan dalam JSJN telah ditambah di 10 daerah di Sarawak, yang terdiri daripada Matu Daro, Simunjan, Meradong, Saratok, Lubok Antu, Julau, Dalat, Kanowit, Song dan Tatau.
“Jabatan Perkhidmatan Awam juga bersetuju untuk menambah kekuatan JSJN secara berperingkat dan keutamaan akan diberikan kepada Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Briged Pasukan Am (PGA) di sini, hari ini.
Khaw berkata antara perkara yang dibincangkan semasa lawatan kerja ke Sarawak itu adalah mengenai isu keselamatan sempadan Sarawak dan Sabah, khususnya dari sudut kerjasama JSJN dan PGA dalam pembanterasan jenayah narkotik di kawasan sempadan.
Beliau berkata sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 November tahun ini, JSJN Sarawak berjaya menahan 9,884 orang atas kesalahan jenayah berkaitan narkotik, dan dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM37 juta telah dirampas. – Bernama