
BETONG: Kerajaan Sarawak hari ini menyerahkan cek pampasan tanah berjumlah RM981,416.10 kepada penduduk yang terlibat dalam projek menaik taraf kemudahan infrastruktur jalan raya di bahagian ini.
Pembayaran tersebut melibatkan Projek Naik Taraf Jalan Mara – Jalan Selangking/Nanga Sela/Tanjung Paoh sepanjang 5.8 kilometer yang merupakan inisiatif penting bagi meningkatkan jaringan perhubungan penduduk luar bandar di Daerah Betong.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Rumah Empalie Jelom, Nanga Sela, Ulu Layar, di sini hari ini.
Uggah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata projek tersebut merangkumi kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban dan Parlimen Betong.
Beliau menjelaskan bahawa pampasan tersebut merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan hak pemilik tanah sentiasa dipelihara apabila pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka.
Berdasarkan perincian yang dikeluarkan, keluasan tanah yang terlibat dalam fasa ini adalah sebanyak 20.2601 hektar, merangkumi sebanyak 63 lot lapangan.


Datuk Amar Douglas Uggah Embas hadir pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Naik Taraf Jalan yang diadakan di Rumah Empalie Jelom, Nanga Sela, Ulu Layar, di sini hari ini. Foto: Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong
Seramai 49 orang penerima dikenal pasti layak menerima pampasan tersebut, melibatkan pengeluaran sebanyak 64 keping cek secara keseluruhannya.
Projek yang sebelum ini telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perancangan Negeri pada 4 April 2022 dan kini dipantau rapat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.
Kawasan pembangunan ini melibatkan komuniti Iban yang rata-ratanya bergantung kepada akses jalan raya yang baik untuk aktiviti ekonomi dan urusan harian ke bandar berhampiran.
Majlis penyerahan ini dianjurkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong bagi memastikan proses agihan bayaran berjalan lancar dan telus kepada semua pihak yang terlibat.
Oleh Adi Safarman