Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan Sarawak sentiasa tekankan prinsip inklusiviti dalam setiap dasar – Abang Johari
  • SEMASA

Kerajaan Sarawak sentiasa tekankan prinsip inklusiviti dalam setiap dasar – Abang Johari

Utusan Sarawak 17 hours ago

Upacara menaikkan Jalur Gemilang disaksikan oleh TYT Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dari atas pentas utama

SARIKEI: Kerajaan Sarawak sentiasa menekankan prinsip inklusiviti dalam setiap dasar dan pelaksanaan program, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata, langkah ini supaya tiada rakyat yang tertinggal atau terpinggir daripada arus pembangunan.

“Kita percaya bahawa kekuatan sebenar terletak pada kepelbagaian. 

Sarawak merupakan contoh terbaik kepada Malaysia dalam konteks perpaduan rakyat berbilang kaum. 

“Di Bumi Kenyalang ini, kepelbagaian kaum dan budaya tidak pernah menjadi halangan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan dan identiti bersama. 

“Dalam suasana masyarakat yang rukun dan saling menghormati inilah, Sarawak terus berkembang pesat dalam suasana penuh keharmonian,” katanya.

RASMI….Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasmikan Majlis Perhimpunan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 sambil disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata demikian ketika berucap  sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan 2025 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantun’ di sini hari ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Abang Johari berkata dalam usaha membawa Sarawak ke arah status wilayah maju menjelang 2030, ia telah memperkukuhkan agenda ekonomi melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 atau PCDS 2030 yang menekankan kepada tiga teras utama iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar. 

“Kita kini berada di penghujung fasa pertama PCDS 2030 iaitu Rancangan Malaysia Ke-12. Kita telah mencapai banyak kejayaan dalam fasa pertama ini terutamanya dalam pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan, khususnya menyambungkan rangkaian jalan pesisir.

“Di Sarikei ini sendiri, pada bulan Mei yang lepas, saya telah melancarkan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang, sebuah infrastruktur penting yang menghubungkan kawasan strategik di Wilayah Tengah Sarawak dan membuka potensi pembangunan baharu di kawasan Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis.

“Dalam pada itu, kerajaan GPS juga giat menyambung elektrik dan bekalan air bersih ke kawasan pedalaman di Sarawak. 

“Pada Selasa lepas saya telah melancarkan Sarawak Water Sdn. Bhd. sebagai langkah transformasi untuk memperkukuh pengurusan bekalan air melalui organisasi yang lebih berkesan, pengurusan aset yang lebih baik, kelestarian kewangan, dan peningkatan kepuasan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata Sarawak turut melakar sejarah penting apabila mengambil alih Lembaga Pelabuhan Bintulu iaitu langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan maritim Sarawak serta membuka ruang lebih luas untuk Sarawak meneroka peluang perdagangan antarabangsa.

“Kejayaan kita untuk menubuhkan AirBorneo, syarikat penerbangan Sarawak akan memperkasakan lagi sektor penerbangan kita dan memperluas rangkaian sambungan udara serantau. 

“AirBorneo dijangka mula beroperasi pada Januari 2026. Saya yakin ia akan memberi kemudahan mobiliti yang lebih inklusifdan mudah diakses di rantau ini,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, Sarawak juga telah berjaya memperoleh pegangan majoriti dalam Affin Bank. 

Langkah ini katanya, melengkapkan pembangunan fizikal dengan kekuatan kewangan, memberi akses pembiayaan yang lebih luas kepada usahawan dan perusahaan tempatan, agar manfaatnya kembali kepada rakyat Sarawak.

Beliau berkata, operasi Affin Bank semakin berkembang di Sarawak dengan pembukaan cawangan-cawangan baharu, khususnya di Kuiching. 

Pada 26 Ogos lalu, beliau telah melancarkan Pejabat Wilayah Sarawak Affin Bank. 

“Langkah ini mencerminkan komitmen Affin Bank untuk menjadi sebahagian daripada pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sarawak,” katanya.

Oleh Earl Anek 

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah menyantuni penduduk Bintangor
Next: Sarawak kekal pengeluar gas terbesar negara – Abang Johari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.