
SARATOK: Kerajaan Sarawak menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menurunkan bilangan kes kehamilan remaja sebanyak 10 peratus setiap tahun berbanding jumlah kes tahun sebelumnya sebagai langkah proaktif menangani isu sosial itu secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata mengikut statistik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menunjukkan trend kehamilan remaja terus menurun sejak 2012, daripada 3,866 kes kepada 2,000 kes pada 2024, iaitu penurunan sebanyak 48.3 peratus.
“Peratusan kehamilan remaja berbanding jumlah kes baru antenatal dalam tempoh sama juga menurun daripada 9.1 peratus kepada 7.2 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Peringkat Bahagian Betong di SMK Agama Saratok, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, statistik mencatat sedikit peningkatan peratusan remaja hamil daripada jumlah kes antenatal baharu pada 2024 iaitu 7.2 peratus berbanding 6.6 peratus pada 2023.
Menurut beliau, 90.6 peratus (1,812 kes) daripada remaja hamil pada 2024 berumur 16 tahun ke atas, sementara 96.1 peratus (1,922 kes) tidak lagi bersekolah dan 63.6 peratus (1,271 kes) tidak berkahwin semasa dilaporkan hamil.
Dari segi agihan kes, Bahagian Kuching mencatat jumlah tertinggi (482 kes), diikuti Bintulu (320 kes), Miri (302 kes), Sibu (261 kes) dan Samarahan (119 kes). Namun, dari segi peratusan, Bahagian Kapit mencatat kadar kehamilan remaja tertinggi dengan 12.9 peratus, diikuti Bintulu (9.0 peratus) dan Serian (8.3 peratus).
Sejak 2016, Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bersama One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) telah melaksanakan 75 siri Program KAPS di sekolah menengah seluruh Sarawak.

Hasilnya, kes remaja hamil bersekolah menurun daripada 142 kes pada 2016 kepada 78 kes pada 2024, iaitu penurunan sebanyak 45.07 peratus.
Pada tahun ini, MPS merancang untuk mengadakan 15 siri program KAPS di sekolah menengah dan tiga siri di sekolah rendah mengikut zon, meneruskan pendekatan pendidikan awal kepada murid sekolah.
Mohamad menegaskan bahawa pendidikan kesihatan seksual bukan bertujuan menggalakkan aktiviti seks, sebaliknya untuk memberi kesedaran kepada remaja tentang tubuh badan mereka, tanggungjawab sosial dan risiko yang bakal dihadapi.
“Perbincangan tentang kesihatan seksual masih dianggap taboo oleh sebahagian masyarakat. Namun, kajian menunjukkan pendidikan pencegahan kehamilan jauh lebih berkesan daripada pendekatan ‘abstinence-only education’,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan ibu bapa sebagai benteng utama dalam membimbing remaja agar menghormati diri, memahami nilai maruah dan menjauhi tingkah laku berisiko.
“Hubungan baik antara ibu bapa dan anak-anak bukan sahaja menghindarkan mereka daripada kehamilan remaja, tetapi juga pelbagai masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, keganasan dan jenayah,” katanya.
Oleh Adi Safarman