
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus menghargai komitmen anggota badan beruniform yang bertugas tanpa mengira waktu termasuk ketika musim perayaan di barisan hadapan demi memastikan keselamatan negeri terpelihara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sepanjang musim perayaan, ramai petugas keselamatan kekal komited melaksanakan tanggungjawab meskipun masyarakat meraikannya bersama keluarga, khususnya apabila statistik menunjukkan peningkatan ketara kemasukan ke Sarawak.
“Kita cuba membantu supaya ada semangat perayaan bersama-sama dengan mereka walaupun jauh daripada keluarga,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Tahun Baru Cina 2026, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Premier Sarawak menambah, inisiatif pemberian Sumbangsih pada hari perayaan lain selain Hari Raya merupakan ilham arwah isterinya, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang yang menginginkan nilai inklusiviti dalam pemberian bantuan kepada badan beruniform.
“Saya yakin ini dapat kita teruskan dan disebabkan pertambahan ini, Alhamdulillah tahun ini kita memperuntukkan RM5.1 juta untuk program seperti ini khasnya untuk hari perayaan,” ujar beliau lagi.
Pada tahun ini kerajaan melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak akan mengagihkan sebanyak 11,900 kontena berupa makanan kepada 11 agensi penerima.
Antara penerimanya ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan tetamu kehormat lain.
-UKAS