Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan Sarawak pertimbang penubuhan rumah kelab khas warga media
  • TEMPATAN

Kerajaan Sarawak pertimbang penubuhan rumah kelab khas warga media

Utusan Sarawak 5 hours ago
 DATUK Abdullah Saidol berucap ketika Majlis Penutup Program AZAM & Media: Bowling Day – ‘Rolling with AZAM, Striking with Media’, di Kuching.

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan mewujudkan sebuah rumah kelab khas untuk warga media sebagai ruang sokongan kepada keperluan kerja wartawan yang beroperasi sepanjang masa, selari dengan landskap media masa kini yang tidak terikat dengan waktu pejabat.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, rumah kelab berkenaan bukan sebuah entiti atau kesatuan, sebaliknya berfungsi sebagai sebuah ‘rumah’ untuk warga media berkumpul, berehat dan menjalankan tugasan dalam suasana lebih selesa.

“Rumah kelab ini bukan sebuah entiti dan bukan sebuah kesatuan. Ini adalah rumah, rumah kelab, tempat semua ahli boleh berada di lokasi yang sama.

“Ia merupakan ruang terbuka, tempat untuk bersantai dan pada masa yang sama meneruskan kerja.

“Warga media tidak bekerja dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Kita bekerja 24 jam sehari dan ada kalanya pulang 3.00 atau 4.00 pagi, jadi dengan adanya rumah kelab tersebut mereka dapat berehat sementara antara waktu kerja,” jelasnya.

KETUA Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Ali Suhaili, bercakap pada Program AZAM & Media: Bowling Day – ‘Rolling with AZAM, Striking with Media’, di Kuching.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutup Program AZAM & Media: Bowling Day – ‘Rolling with AZAM, Striking with Media’ yang berlangsung di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdullah berkata beliau telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memastikan cadangan rumah kelab media tersebut dapat direalisasikan, termasuk aspek hala tuju, kos pengurusan dan penyelenggaraan pada masa hadapan.

“Cadangan ini telah dikemukakan dan tanggungjawab sepenuhnya diberikan kepada saya untuk memastikan perancangan ke hadapan, termasuk kos operasi dan pengurusan.

“Tugas kami adalah untuk merealisasikan impian ini dan saya berharap kita semua dapat bersama-sama mendoakan agar hasrat ini tercapai.

“Menjelang 2026, selain acara berkaitan media, kita juga mahu melibatkan warga media secara lebih tersusun termasuk melalui penganjuran Sarawak Media Conference dan program pembangunan profesional,” jelasnya.

RAKAMAN gambar kenangan ketika Program AZAM & Media: Bowling Day – ‘Rolling with AZAM, Striking with Media’, di Kuching.

Beliau turut menegaskan bahawa program anjuran Azam bersama media tersebut penting dalam membina semangat kebersamaan dalam kalangan pengamal media, di samping menggesa warga media agar terus berbangga dengan identiti Sarawak.

“Ini adalah tahun untuk kita membina semangat, saling menyokong dan jangan malu untuk berbangga sebagai anak Sarawak yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Ali Suhaili berkata program tersebut dianjurkan sebagai platform santai tetapi bermakna bagi mengukuhkan hubungan, memupuk persefahaman serta menggalakkan kerjasama berterusan antara AZAM dan warga media.

“Media memainkan peranan penting sebagai saluran komunikasi utama dalam menyampaikan maklumat secara tepat, bertanggungjawab dan mudah difahami oleh masyarakat, selain menjadi rakan strategik yang saling melengkapi dalam menyokong usaha pembangunan serta komunikasi awam,” ujarnya.

Program tersebut turut menyaksikan pertandingan boling persahabatan melibatkan pengamal media, dengan UKAS muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, diikuti CATS FM di tempat kedua, manakala TVS menduduki tempat ketiga.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Kuching tuan rumah Perhimpunan Gastronomi UNESCO
Next: Permohonan projek UNIFOR perlu dikemuka sebelum akhir Februari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.