
BINTULU: Kerajaan Sarawak memberi perhatian serius terhadap cadangan pembinaan tapak perhimpunan berbumbung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu bagi memberi keselesaan kepada lebih 3,400 pelajar dan lebih 200 guru di sekolah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, cadangan itu penting kerana SMK Bintulu tidak mempunyai ruang sesuai untuk menganjurkan acara besar sejak sekian lama.
Menurutnya, setiap kali sekolah menganjurkan program atau perhimpunan, guru dan pelajar terpaksa berpanas dan berhujan kerana hanya bergantung pada khemah sementara yang didirikan di kawasan lapang.
“Dengan adanya tapak perhimpunan berbumbung, pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum dapat dijalankan dalam keadaan lebih selesa, selamat dan teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, yang hadir membuat tinjauan ke SMK Bintulu serta mempengerusikan mesyuarat bersama pihak berkaitan berhubung cadangan projek itu.
Johnny Pang menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan sekolah dan kerajaan negeri untuk memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin demi manfaat pelajar.
Katanya, projek itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan guru dan pelajar, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik di kawasan Bintulu.
“Kerajaan Sarawak sentiasa menitikberatkan pembangunan prasarana pendidikan dan pembinaan tapak berbumbung ini akan menjadi satu lagi bukti keprihatinan terhadap kebajikan warga sekolah,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih