
SIBU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai inisiatif termasuk kesedaran kewangan, keselamatan digital dan pembangunan sahsiah anak-anak bagi melahirkan komuniti yang berilmu, sejahtera dan berdaya tahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, isu penyalahgunaan akaun peribadi atau ‘mule account’ kini semakin membimbangkan apabila individu sanggup menyewakan akaun bank mereka kepada pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan transaksi haram.
Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja boleh menyebabkan akaun disenarai hitam oleh pihak bank, malah akan menjejaskan masa depan pemilik serta anak-anak mereka apabila akaun tersebut tidak lagi boleh digunakan untuk urusan rasmi pada masa hadapan.
“Walaupun ada tawaran komisen lumayan, duit yang diperoleh melalui cara ini bukanlah sumber yang halal. Kita perlu berwaspada dan tidak membenarkan orang lain menggunakan akaun kita untuk sebarang transaksi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan Program Kesejahteraan dan Kesihatan Komuniti 2025 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini petang tadi.
Fatimah berkata, pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) giat melaksanakan ceramah kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang berhemah bagi membantu rakyat membuat perancangan jangka panjang, khususnya menjelang usia persaraan.
“Ramai rakyat Malaysia, termasuk di Sarawak, tidak mempunyai simpanan mencukupi selepas bersara. Oleh itu, pendidikan kewangan perlu diterapkan sejak kecil melalui program pendidikan awal kanak-kanak.
“Pogram tersebut memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai nilai wang, termasuk aktiviti simulasi membeli-belah bagi mengajar mereka berbelanja mengikut kemampuan dan menabung untuk masa depan,” ujarnya.
Katanya, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti, Pusat Sokongan Sosial Komuniti (Community Social Support Centre) juga diwujudkan sebagai platform pelaksanaan pelbagai aktiviti kesihatan fizikal dan mental, selain kaunseling serta ceramah motivasi untuk masyarakat setempat.
“Pihak kementerian turut mempergiat program memperkasakan wanita melalui prinsip Kepelbagaian, Kesamarataan, Ekuiti dan Inklusiviti (D2EI) termasuk peluang biasiswa di bawah Asean Human Leadership College bagi wanita dalam bidang pembangunan kepimpinan,” jelasnya.
Dari aspek perlindungan kanak-kanak, katanya, kerajaan Sarawak menetapkan agar setiap institusi melaksanakan dasar perlindungan kanak-kanak (Child Safeguarding Policy) secara menyeluruh melalui latihan berkala, saluran aduan yang jelas serta mekanisma bagi menangani isu penderaan atau pengabaian.
Fatimah berkata, usaha ini turut menekankan pembentukan budaya hormat dalam kalangan pelajar mencontohi negara seperti Denmark yang berjaya menurunkan kadar buli melalui kelas mingguan khas anti-buli.
“Selain itu, NGO tempatan seperti Super Skills For Life turut membantu kanak-kanak mengurus tekanan, membina keyakinan diri dan ketahanan emosi,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti dalam talian anak mereka bagi mengelakkan risiko keselamatan digital.
“Kesejahteraan masyarakat tidak boleh dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk jabatan kerajaan, NGO dan komuniti.
“Dengan kekuatan pasukan dan kasih sayang dalam keluarga serta komuniti, kita mampu membentuk generasi muda yang berilmu, beretika dan tahu menilai antara yang betul dan salah,” kata beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli.
Oleh Akun Giman