
SPAOH: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, usaha bersepadu ini dilaksanakan bagi memastikan pembangunan yang inklusif serta memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat setempat.
Lawatan kerja beliau bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu melibatkan beberapa projek utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di sekitar kawasan Spaoh dan Tanjung Sebekut.

Antara tumpuan utama ialah penyerahan 32 surat kelulusan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM5 juta bagi DUN Bukit Saban, yang bertujuan meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk.
Menurut beliau, projek RTP tersebut merangkumi pelbagai inisiatif kecil dan sederhana seperti pembaikan infrastruktur, kemudahan awam serta keperluan komuniti yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Selain itu, beliau turut diberi taklimat mengenai cadangan pembinaan Klinik Spaoh baharu bernilai RM35 juta yang dilaksanakan melalui kerjasama antara Jabatan Kesihatan dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Projek klinik tersebut kini berada pada peringkat tender dan dijangka dimulakan dalam masa terdekat, sekali gus bakal meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti bagi penduduk setempat.
Dalam sektor pembangunan modal insan, beliau turut melawat bangunan GiatMara Spaoh yang telah siap dan dijadualkan beroperasi pada Julai ini, menawarkan kursus jahitan serta kemahiran elektrik kepada belia tempatan.
Tambah beliau, inisiatif latihan teknikal dan vokasional ini penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri serta meningkatkan kebolehpasaran golongan muda di kawasan luar bandar.
Beliau turut meninjau kerja-kerja naik taraf pejabat BDDA di Spaoh yang dijangka siap menjelang September tahun ini, selain melihat sendiri perkembangan projek pembangunan di Tanjung Sebekut.
Bagi kawasan Tanjung Sebekut, projek sambungan bekalan air bernilai RM3 juta dan bekalan elektrik bernilai RM3.5 juta telah diluluskan, menjadikan jumlah keseluruhan RM6.5 juta untuk menyokong pertumbuhan penempatan baharu.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan turut dipacu melalui projek Bebuling Agropark seluas 750 hektar yang disokong kemudahan infrastruktur seperti Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling, sekali gus membuka peluang pekerjaan serta memperluas akses pasaran termasuk melalui pengangkutan udara.
Uggah turut menyentuh potensi pelancongan melalui pembangunan produk pelancongan Bukit Sadok yang menampilkan pembinaan Replika Kubu Rentap, yang dijangka mampu menarik lebih ramai pelawat ke kawasan Betong.
“Kesemua projek ini memperlihatkan strategi jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuh ekonomi luar bandar serta memastikan pembangunan mampan menjelang 2030,” katanya.
Oleh Adi Safarman