Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan Sarawak perhalusi laluan dan jadual bas elektrik untuk kegunaan awam
  • TEMPATAN

Kerajaan Sarawak perhalusi laluan dan jadual bas elektrik untuk kegunaan awam

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ditemui pemberita ketika menghadiri percubaan laluan baharu bas elektrik Kuching Metro, di Kuching. Foto Ukas

KUCHING: Kerajaan Sarawak menjalankan ujian percubaan serta penilaian semula laluan dan jadual bas elektrik bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam mesra alam itu lebih praktikal, berkesan dan memenuhi keperluan pengguna.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyesuaian tersebut melibatkan perjalanan dari Stesen Bas Lama, Electra House ke beberapa destinasi tertentu termasuk Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Damai.

Menurutnya, walaupun laluan ke Semenggoh telah wujud sebelum ini, pelarasan masa perjalanan dilakukan selepas mendapati sebahagian jadual lama kurang sesuai dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna.

“Kita lihat ada bas yang tidak digunakan sepenuhnya kerana jadual lama kurang sesuai. Contohnya, apabila tiba di Semenggoh, waktu memberi makan orang utan sudah berakhir.

DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama tetamu kehormat lain menghadiri percubaan laluan baharu bas elektrik Kuching Metro di Kuching. Foto Ukas

“Waktu memberi makan orang utan biasanya diadakan dua kali sehari, sekitar 10.00 pagi serta 3.00 atau 4.00 petang, justeru jadual bas perlu disusun semula supaya pengguna, khususnya pelancong, tiba pada waktu yang lebih sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri percubaan laluan baharu bas elektrik Kuching Metro, di sini, hari ini.

Tambah beliau, laluan bas elektrik turut melalui kawasan hotel bagi memudahkan pengambilan penumpang, selain memastikan perjalanan lebih menyeluruh dan praktikal.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa kerajaan Sarawak kini menyediakan empat bas elektrik yang beroperasi secara percuma untuk kegunaan orang awam dan pelancong sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam rendah karbon.

“Bas ini disediakan oleh kerajaan negeri dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, termasuk orang tempatan dan pengunjung dari luar Kuching seperti Sibu dan Miri.

“Setakat ini kerajaan berpuas hati dengan kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan, selain melihat penggunaan bas elektrik selari dengan keperluan global ke arah pengangkutan lebih lestari.

 BAS elektrik Kuching Metro. Foto Ukas

“Ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang Sarawak untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan mesra alam,” jelasnya.

Abdul Karim mengulas lanjut, perkhidmatan bas elektrik percuma ini turut merangkumi laluan ke Damai dan Kachau Village pada waktu tertentu, dengan maklumat terperinci mengenai jadual dan laluan boleh diperoleh melalui laman web rasmi.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Nanta cadangkan Lidam dicalonkan semula pada PRN13 yang akan datang
Next: Semangat gotong-royong perkukuh kebersihan, kesihatan dan perpaduan komuniti Tabuan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.