Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan Sarawak percepat ukur Tanah Hak Adat Bumiputera, tingkat ketelusan sistem tanah
  • TEMPATAN

Kerajaan Sarawak percepat ukur Tanah Hak Adat Bumiputera, tingkat ketelusan sistem tanah

Utusan Sarawak 4 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Tanah dan Survei (LANDAS) Summit 2026 di sebuah hotel terkemuka, Bintulu hari ini.

BINTULU: Kerajaan Sarawak akan mempercepat proses pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) serta memperkukuh pendigitalan sistem pentadbiran tanah bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan dan keyakinan rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting bagi memastikan isu berkaitan pemilikan tanah dapat diselesaikan secara adil, sistematik dan berintegriti.

Menurut beliau, pengurusan NCR bukan sahaja melibatkan aspek pembangunan, malah berkait rapat dengan identiti, warisan serta kesejahteraan komuniti tempatan.

“Kerajaan negeri komited untuk mempercepatkan pengukuran, memperkukuh dokumentasi dan meningkatkan ketelusan supaya setiap pertikaian dapat diselesaikan secara saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tanah dan Survei (LANDAS) Summit 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Open bergambar bersama warga Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak pada Majlis Perasmian Tanah dan Survei (LANDAS) Summit 2026 di sebuah hotel terkemuka, Bintulu hari ini.

Abang Johari berkata, transformasi digital dalam pentadbiran tanah turut menjadi keutamaan, termasuk penggunaan sistem maklumat bersepadu, teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS), perkongsian data antara agensi serta aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Katanya, pendekatan itu mampu mempercepat proses kelulusan, mengurangkan kesilapan serta meningkatkan tahap ketelusan perkhidmatan.

“Pendigitalan bukan untuk menggantikan peranan pegawai, tetapi memperkasa sistem supaya lebih cekap dan diyakini rakyat,” katanya.

Dalam aspek perancangan guna tanah, beliau menegaskan kepentingan pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar, khususnya dalam memenuhi permintaan terhadap perumahan, kemudahan awam dan kawasan komersial.

Menurut beliau, perancangan tidak boleh dibuat tanpa mengambil kira faktor keselamatan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

Beliau turut mengingatkan bahawa perubahan iklim memberi kesan langsung terhadap penggunaan tanah, termasuk risiko banjir, hakisan pantai dan ketidaktentuan cuaca.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, dasar perancangan tanah negeri perlu mengambil kira daya tahan iklim, perlindungan kawasan hutan serta pembangunan sumber secara lestari.

Dalam ucapannya, beliau juga menekankan kepentingan integriti, profesionalisme dan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.

“Sebarang kelewatan, kekaburan prosedur atau ketidakkonsistenan keputusan boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pembangunan modal insan perlu terus diperkasakan melalui latihan berterusan, pembangunan kepimpinan dan pengukuhan nilai etika kerja.

Abang Johari turut menyuarakan keyakinan bahawa LANDAS Summit 2026 mampu menjadi pemangkin kepada idea baharu bagi memperkukuh sistem pentadbiran tanah serta menyokong pembangunan ekonomi Sarawak.

“Pengurusan tanah yang cekap akan membentuk landskap ekonomi dan sosial negeri pada masa depan,” ujarnya.

Oleh Carolyne Utih

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Program Dayung Warisan perkasa wanita jadi pemimpin warisan budaya – Nancy
Next: GEN 16 anjur Program Kembali ke Sekolah, agih 300 beg sekolah di Muara Tuang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.