KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha mempelbagaikan hasil pertanian di negeri ini menerusi pembangunan tanaman kopi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu, ini merupakan sebahagian daripada usaha kementeriannya untuk menaik taraf kehidupan petani di negeri ini.
“Usaha menanam kopi mampu membuka potensi penuh pertanian demi memperkasakan kehidupan petani dan keselamatan makanan serta meningkatkan eksport.
“Permintaan untuk kopi melebihi bekalan tempatan kita dan tanaman kopi sesuai dengan visi ini, bukan sahaja untuk faedah ekonomi langsung tetapi juga sebagai tanaman yang ditanam secara mampan sejajar dengan matlamat alam sekitar dan biodiversiti kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil pada majlis perasmian Bengkel Kopi dan Perubahan Iklim di Asia Tenggara di sebuah hotel di sini, hari ini.
Stephen Rundi menambah, kementeriannya juga mesti melabur dalam perkhidmatan lanjutan (extension services) yang melengkapkan petani dengan pengetahuan dan peralatan untuk melaksanakan amalan berdaya tahan terhadap iklim.
“Program latihan, bengkel sebegini dan ladang demonstrasi boleh membantu petani memahami kaedah dan teknologi baharu.
“Ini amat penting bagi petani dan pekebun kecil yang mungkin kekurangan sumber atau pengetahuan teknikal untuk menyesuaikan diri secara bebas,” ujarnya.
Katanya lagi, dasar kerajaan akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan pengeluaran kopi yang mampan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh dan ADUN Bukit Semuja John Ilus.