SERIAN: Kerajaan Sarawak masih dalam proses mengumpul data untuk menilai jumlah kerosakan akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, dengan laporan penuh dijangka siap pada esok.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah mengarahkan semua Pejabat Residen untuk menyerahkan laporan berkaitan kerosakan, termasuk kemudahan awam dan harta persendirian, bagi menentukan tahap kerosakan sebenar.
“Setakat ini, kami belum mempunyai anggaran jumlah kerosakan.
“Kami akan mengumpul data menjelang esok dan semua Pejabat Residen telah diarahkan untuk melaporkan kerosakan, sama ada menjejaskan kemudahan awam atau swasta, supaya kita boleh menentukan tahap penuh kesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Ranchan di sini, hari ini.
Tambah Uggah, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana untuk bantuan banjir, manakala kerajaan Sarawak juga telah meningkatkan peruntukannya sebanyak RM10 juta sebagai persediaan untuk membantu lebih ramai mangsa yang terjejas.
“Pada masa ini, kami belum mempunyai butiran lanjut, tetapi kami sedang berusaha untuk mendapatkannya.
“Semakin cepat kami memperoleh maklumat, semakin baik. Semua Pejabat Residen tempatan kini sibuk dengan pengumpulan data,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah turut mendedahkan bahawa 20 lokasi di Serian telah mengalami kerosakan, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk melakukan pembaikan segera bagi mengelakkan gangguan pada sambungan jalan raya.
“Di kawasan pedalaman seperti Sebauh, terdapat banjir, dan beberapa jalan terputus.
“JKR sedang bekerja sepenuh kapasiti untuk membaiki jalan yang rosak,” katanya.
Semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk usaha bantuan banjir di negeri ini semasa lawatannya ke PPS di Miri, semalam.
Abang Johari berkata, dana yang baru diperuntukkan itu akan membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengagihkan bantuan ke semua kawasan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan RM24 juta untuk kawasan yang terjejas banjir di Sabah dan Sarawak.
Oleh Mohd Neenatul Aizal