
LAWAS: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membina benteng penghalang hakisan tebing sungai di Kampung Mission Lawas.
Kelulusan tersebut turut diberikan untuk melaksanakan projek penempatan semula bagi menyelamatkan perkampungan berkenaan daripada terus terhakis dan berisiko hilang ditelan arus Sungai Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata langkah tersebut adalah satu keperluan bagi memastikan penduduk kampung berkenaan dibantu dalam menghadapi masalah bencana alam yang sukar dibendung.
Menurut beliau, Kampung Mission mempunyai nilai sejarah yang penting khususnya kepada komuniti Kristian Sidang Injil Borneo (SIB).
“Kampung Mission mempunyai sejarah dan nilai sentimental yang penting kepada penganut Kristian Sidang Injil Borneo (SIB). Sebagai anak jati Lawas, saya memahami kepentingannya kerana ramai rakan saya beragama Kristian SIB.
“Kerajaan negeri telah meluluskan penempatan semula kampung ini, selain peruntukan RM50 juta bagi pembinaan benteng bagi mengekang hakisan tebing sungai di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Pra-Krismas Daerah Lawas di Stadium Tertutup Lawas, malam tadi.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi; Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA), Datu Ubaidillah Latip; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok serta tetamu kenamaan lain.
Kampung Mission Lawas yang telah wujud sejak zaman kolonial pada abad ke-19 diasaskan secara signifikan oleh mubaligh Kristian. Mereka memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pendidikan, penjagaan kesihatan serta agama Kristian kepada masyarakat setempat, khususnya dalam kalangan masyarakat pribumi.
Selain itu, Kampung Mission berdepan dengan masalah hakisan tebing sungai yang serius akibat hentaman arus deras Sungai Lawas.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak dahulu untuk mengekang hakisan tersebut, namun kebanyakannya gagal akibat faktor bencana alam, termasuk runtuhan tebing sungai yang semakin menghakis kawasan perkampungan berkenaan.
Oleh Adeng Edrus