
KUCHING: Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan lebih RM3 bilion untuk pembinaan kuarters bagi penjawat awam di seluruh negeri Sarawak.
Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, kerja-kerja awalan seperti reka bentuk, pengambilan tanah, dan pengenalpastian tapak sudahpun dijalankan dan projek pembinaan dijangka bermula selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.
“Seluruh bahagian, seluruh daerah dan seluruh daerah kecil di negeri Sarawak akan dibina kuarters untuk penjawat awam kita.
“Konsep kuarters yang dibina kini bukan lagi rumah satu-satu seperti dahulu, tetapi berkonsepkan pangsapuri untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para penjawat awam.
“Ini supaya pertama untuk keselamatan, kedua adalah untuk memberi kediaman yang selesa kepada semua anggota pembinaan awam kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan SCS R&DO Samarahan di Auditorium Pertubuhan Peladang Sarawak, hari ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa projek tersebut juga selaras dengan perancangan pembinaan pusat pentadbiran bersepadu di setiap bahagian.
“Ini termasuk pembaharuan pejabat daerah dan daerah kecil agar penjawat awam dapat bekerja dalam persekitaran yang kondusif.
“Dalam pada itu, pelaksanaan projek ini adalah kesinambungan daripada usaha yang telah dimulakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah