
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melaksanakan Kajian Pembangunan Pelan Induk Kesihatan Awam Sarawak 2050 sebagai usaha strategik untuk membangunkan sistem kesihatan negeri secara menyeluruh, sistematik dan berpandukan data.
Menurut Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, pelan tersebut bukan hanya untuk menambah baik infrastruktur, malah turut merangkumi tadbir urus, tenaga kerja, kewangan serta perancangan jangka panjang berdasarkan realiti semasa.
“Kita tidak mahu laksana sesuatu secara tergesa-gesa atau tanpa perancangan. Kita mahu ia dilakukan secara sistematik, menyeluruh dan berpandukan data.
“Kita tidak boleh tunggu sampai ada aduan baharu bertindak. Kita mesti ada satu pelan jangka panjang yang bersedia untuk hadapi keperluan kesihatan rakyat Sarawak pada masa akan datang.
“Kita harap apabila sampai 2050 nanti, kita tidak lagi bercakap tentang klinik atau hospital daif. Kalau masih ada, itu bermakna kita tidur selama ini,” tegas beliau semasa bercakap pada majlis Pelancaran Kajian Pembangunan Pelan Induk Kesihatan Awam Sarawak 2050, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Tambah beliau, pendekatan ini melibatkan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, profesional kesihatan dan masyarakat awam, melalui kutipan data di seluruh Sarawak meliputi 12 bahagian dan 45 daerah, dengan tumpuan khusus kepada golongan rentan dan berkeperluan khas.
“Mereka akan turun ke lapangan dan temu bual 7,000 orang di seluruh negeri.
“Kita tidak mahu hanya doktor, jururawat atau ahli farmasi yang beritahu apa yang perlu dibuat orang awam juga mesti bersuara.
“Kesihatan bukan sahaja tentang klinik dan hospital, tetapi juga kesejahteraan. Di Sarawak, kita hidup lebih lama tetapi adakah kita sihat atau asyik keluar masuk hospital,” ujarnya.
Kajian ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak dan dilaksanakan oleh Unimas Holdings dengan kerjasama KPMG, bermula Mac hingga November 2025 selama tempoh sembilan bulan.
Objektif utama kajian tersebut adalah untuk merangka strategi menyeluruh melibatkan pencegahan penyakit, promosi kesihatan, pengukuhan infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan awam, selain mencadangkan penambahbaikan dari sudut undang-undang dan struktur institusi.
Kerajaan Sarawak menyeru semua agensi berkaitan, sektor swasta dan masyarakat umum agar memberikan kerjasama penuh demi menjayakan usaha ini.
Oleh Masrin Affirah