
SONG: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, dengan kerjasama agensi pelaksana Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), komited untuk menambah baik dan memperkukuh sistem bekalan air di Daerah Song.
Usaha ini dilakukan bagi memenuhi permintaan air bersih yang semakin meningkat di kawasan tersebut, selaras dengan langkah kerajaan untuk memastikan kemudahan asas berkualiti dapat dinikmati oleh semua penduduk.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, keprihatinan ini telah dizahirkan melalui pelaksanaan pelbagai projek bekalan air yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
Menurutnya, projek bekalan air yang telah siap dilaksanakan ialah pembinaan ‘Acute System’ Song di Loji Rawatan Air Song, yang kini sudah siap dilaksanakan sepenuhnya dan telah mula beroperasi.
“Projek yang bermula pada bulan Februari 2025 dengan kos bernilai sekitar RM14 juta ini melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti empat (4) Juta Liter Sehari (JLH).
“Pelaksanaan projek ini memberi manfaat besar kepada lebih kurang 1,400 rumah dan menampung permintaan bekalan air terawat yang semakin meningkat sekali gus menambahbaik sistem bekalan air sedia ada dengan lebih konsisten di Daerah Song.

“Selain itu, projek ini juga akan memberi manfaat kepada lapan buah rumah panjang dan sebuah sekolah setelah projek saluran paip dan pembinaan stesen pam penggalak di bawah kendalian Agensi Pembangunan Rajang Hulu (URDA) siap dilaksanakan nanti,” katanya pada Sesi Taklimat Sistem Utiliti dan Telekomunikasi sempena lawatan kerja ke daerah Song di Pejabat Daerah Song, hari ini.
Katanya, projek pembinaan Loji Rawatan Air Song baharu berkapasiti 20 Juta Liter Sehari dengan kos pembinaan dianggarkan sekitar RM140 juta kini sedang dalam fasa tender.
“Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk di Daerah Song apabila ia siap dilaksanakan nanti.
“Bagi pelaksanaan projek penggantian paip baharu dari simpang Rh. Nyantau ke Rh. Jarop sepanjang 1.2 km yang bernilai sekitar RM1.04 juta, ia kini berada dalam fasa penilaian tender,” jelasnya.
Julaihi berkata, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) ke kawasan Song ke Kanowit, Bahagian Kapit melibatkan kos pembinaan yang dianggarkan sekitar RM49.9 Juta masih dalam fasa perancangan.
“Skop projek ini meliputi pembinaan stesen pam penggalak, tangki simpanan air dan pemasangan saluran paip utama dan pengagihan sepanjang 50.5km. Apabila siap nanti, ia akan memberi manfaat kepada lebih kurang 452 isi rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Cadangan Sistem Bekalan Air Song, katanya lagi, projek yang masih berada dalam perancangan ini melibatkan kos pembinaan yang dianggarkan sekitar RM30 juta.
“Skop pembinaan projek ini meliputi pembinaan stesen pam penggalak, tangki simpanan air dan pemasangan saluran paip sepanjang 14km,” ujarnya lagi.
Julaihi berkata, JBALB Sarawak akan berusaha memastikan projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan, sekali gus memperluaskan liputan bekalan air dan menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh di daerah terbabit.
Oleh Akun Giman