
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menzahirkan komitmen terhadap dasar inklusiviti dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM19.07 juta bagi pembinaan dan naik taraf rumah-rumah ibadat bukan Islam di bawah Fasa 2, 2025, melibatkan 107 projek di seluruh negeri.
Majlis penyerahan cek yang diadakan di Bangunan UNIFOR hari ini disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Sehingga kini, sebanyak RM35.77 juta atau 39.7 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM90 juta bagi tahun 2025 telah disalurkan di bawah Fasa 1 dan Fasa 2, merangkumi 171 projek rumah ibadat di seluruh Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek tersebut.
Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kekal konsisten memperkukuh dasar keterangkuman sosial sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan perpaduan dan kesejahteraan rakyat pelbagai agama serta bangsa.
Datuk Amar Douglas turut menjelaskan bahawa seramai 41 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima cek bagi projek-projek rumah ibadat dalam kawasan masing-masing, bagi memastikan bantuan disalurkan segera tanpa kelewatan.

Beliau menegaskan bahawa setiap peruntukan perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan oleh jawatankuasa projek serta pengurusan rumah ibadat masing-masing.
“UNIFOR sentiasa menjalankan pemantauan di lapangan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya bagi memastikan pelaksanaan projek menepati spesifikasi dan keperluan sebenar rumah ibadat. Kita mahu setiap sen dimanfaatkan untuk kesejahteraan komuniti,” tambahnya.
Selain pembinaan rumah ibadat, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM20 juta bagi projek pembinaan sekolah mubaligh, selaras dengan usaha memperkukuh infrastruktur pendidikan dan keagamaan di Sarawak.
Beliau turut menggesa agar rakyat Sarawak terus memperkukuh persefahaman, keamanan, dan keharmonian antara agama yang menjadi asas kepada kestabilan negeri ini.
Oleh Adele Rissa