
KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memberi fokus kepada peralihan menuju ekonomi baharu berasaskan teknologi, kemahiran dan produktiviti, selaras dengan aspirasi pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Johari Tun Openg berkata, tumpuan diberikan kepada sektor-sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan adaptasi terhadap perubahan iklim global yang telah memberi kesan langsung kepada landskap ekonomi dunia.
“Kita perlu mencari halatuju yang betul kerana kita memerlukan latihan serta kepakaran, khususnya dari sudut disiplin teknikal.
“Terdahulu, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak, Zaidi Nasar menyatakan kepentingan kemahiran dan peningkatan kemahiran.
“Ini kerana, ekonomi pada masa kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada ilmu yang diperoleh daripada buku di sekolah,” katanya dalam ucapan sambutan Hari Pekerja Peringkat Sarawak di Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, dalam era teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), pekerja tetap memainkan peranan penting, namun dengan keperluan kemahiran yang lebih tinggi dan bersifat teknikal.
“Namun, pekerja yang diperlukan ialah pekerja bijak, gaji yang setimpal kerana produktiviti mereka sepadan dengan kepakaran yang dimiliki,” ujar beliau.
Menurutnya, Sarawak tidak mahu terperangkap dalam ekonomi kos tinggi dengan produktiviti yang rendah.
Sebaliknya, penggunaan teknologi akan menjadi alat utama dalam mencapai kecekapan serta penjimatan kos dalam semua sektor.
“Kita tak mahu ekonomi kita tinggi kos, tapi produktiviti rendah. Tak mengapa kos tinggi, asalkan ia efisien. Teknologi ini memberi penjimatan. Gaji tinggi pun tak mengapa, asalkan produktiviti setara,” katanya.
Langkah ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membawa Sarawak ke arah status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, dengan tumpuan kepada modal insan yang berkualiti serta berkemahiran tinggi dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan. -UKAS