KUCHING: Kerajaan Sarawak hanya akan mengenal pasti tapak bagi membolehkan syarikat swasta membina projek pembinaan tiang bendera tertinggi negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri tidak terlibat dalam pembiayaan projek pembinaan itu.
“Projek yang dianggarkan kira-kira RM30 juta itu dibiayai syarikat swasta sebagai sumbangan mereka bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka dalam Malaysia pada tahun ini.
“Pembinaan tiang bendera itu adalah projek syarikat swasta. Kita hanya mengenal pasti tapak untuk projek ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Cadangan mendirikan tiang bendera setinggi 99 meter itu mula dilaporkan media tempatan minggu lalu dan menjadi viral di media sosial hingga diambil kesempatan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang mengecam usaha itu sebagai membazir wang rakyat.
Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam kemudian pada Sabtu lalu, Pejabat Premier Sarawak mengeluarkan kenyataan bahawa projek itu dikendalikan oleh sektor swasta sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka dalam Malaysia.
Cadangan pembinaan tiang bendera setinggi 99 meter itu adalah empat meter lebih tinggi berbanding tiang bendera di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, kini tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara dengan ketinggian 95 meter.
Jika projek diusahakan sektor swasta itu berjaya dibina, tiang bendera di Sarawak adalah ke-12 tertinggi di dunia, cuma beza 11 meter dengan di Belgaum yang berada pada kedudukan ke-11. Malah, tiang bendera di Sarawak itu nanti bakal menjadi yang tertinggi di Asia Tenggara.
Kini, tiang bendera tertinggi dunia terletak di Jeddah, Arab Saudi iaitu pada ketinggian 170.6 meter.
Oleh NUR AIN OTSMAN