SIBU: Kerajaan Sarawak secara dasarnya bersetuju membiayai dan melaksanakan Projek Tebatan Banjir Fasa 4 di sini.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee berkata, projek yang menelan belanja kira-kira RM120 juta itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memberitahu perunding akan dilantik menjelang akhir tahun ini.
“Projek ini merangkumi satu stesen pam di sebelah Hotel Paramount dan benteng akan dibangunkan di Jalan Lanang,” katanya kepada pemberita semasa melawat tapak projek tebatan banjir Fasa 3 di Jalan Sungai Bakong, di sini semalam.
Menurutnya, projek tebatan banjir untuk Sibu bermula pada 2008 yang melibatkan pembinaan tebing dengan menaikkan permukaan jalan di sepanjang sungai dan membina stesen pam dan kolam penahan.
“Fasa 1 dan 2 telah selesai dengan meninggikan jalan dari Upper Lanang ke persimpangan Jalan Lanang dan Jalan Ek Dee dan pembinaan tiga stesen pam.
“Dua lagi stesen pam dibina di bawah pakej rangsangan persekutuan beberapa tahun lalu.
“Fasa 3 sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada 2022. Ini melibatkan pembinaan dua stesen pam dan meninggikan permukaan jalan di sepanjang kampung di sebelah Batang Igan. Tiga fasa ini dibiayai oleh kerajaan pusat,” katanya.
Turut hadir di lokasi ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Senator Robert Lau Hui Yew, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, timbalanya Wong Ching Yong dan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Michael Tiang.
Oleh Nurzilla Mohamad