PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak memberikan insentif RM500,000 kepada jaguh angkat berat negara, Bonnie Bunyau Gustin, 25, atas kejayaannya mempertahankan emas powerlifting dan pecah rekod dunia di Sukan Paralimpik Paris baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemberian itu adalah atas pengorbanan dan kejayaan anak Bumi Kenyalang itu yang mengharumkan nama negara.
“Bonnie adalah model sukan yang harus dijadikan contoh untuk para atlet negara.
“Saya percaya atlet-atlet akan berusaha bukan sahaja untuk mendapat kemenangan, tetapi untuk melatih diri dalam sudut kepercayaan kepada diri sendiri dalam kita menghadapi cabaran hidup.
“Seperti juga atlet lain, saya percaya atlet Para Sukma juga boleh memberikan kejayaan yang besar dalam pembangunan diri sendiri dan Bonnie adalah model yang harus kita ambil contoh.
“Saya mahu ucapkan tahniah kepada Bonnie yang telah memecah rekod dunia, beliau bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga nama Sarawak di persada dunia.
“Saya harap ini akan menjadi dorongan kepada atlet muda Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) untuk berlatih dengan lebih giat supaya mendapat kejayaan pada masa akan datang,,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) edisi ke-21 di Stadium Perpaduan di sini malam ini.
Pada Paralimpik Paris bulan lepas, Bonnie, anak kelahiran Kampung Baru Mawang-Serian mempertahankan emas kategori 72 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan seberat 232kg, sekali gus meleburkan rekod dunia 231kg miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.
Jumlah angkatannya itu juga menjadi rekod baharu temasya, mengatasi rekod 228kg yang juga milik Bonnie pada edisi Tokyo 2020.
Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan imbuhan RM1 juta bagi kejayaan meraih emas di Paralimpik menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), selain tambahan sekiranya memecahkan rekod temasya atau dunia.
Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan bahawa kerajaan Sarawak akan terus menghantar atlet yang berpotensi besar ke luar negara untuk berlatih.
“Kita telah menghantar atlet Para SUKMA ke luar negara untuk berlatih, pembangunan ini, kerajaan Sarawak akan teruskan untuk melatih mereka yang mempunyai potensi,” jelasnya.
Abang Johari sekali lagi menekankan komitmen Sarawak untuk bersama membangunkan industri sukan di negara ini.
Katanya, itulah antara sebab Sarawak bersetuju menjadi penganjur bersama Sukan Asia Tenggara (SEA).
“Kepada Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), Sarawak akan bersama-sama membangunkan sukan di seluruh Malaysia dengan kemampuan yang Sarawak ada, sebab itu kita bersetuju untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA,”Jelasnya.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof bersama isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan NEENATUL AIZAL