KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 cuma dapat diadakan selepas Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 ditamatkan.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata nasihat Yang Di-Pertuan Agong agar Kerajaan Negeri Sarawak berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat tempoh pada 6 Jun ini adalah berdasarkan undang-undang di negara ini.
“Pelaksanaan sistem demokrasi perlu ditangguh sehingga darurat ini tamat. Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memang ingin mendapat mandat dari rakyat untuk terus mentadbir tetapi kita perlu mematuhi undang-undang.
Sebelum itu, para pemimpin GPS yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menghadap Yang Di-Pertuan Agong secara maya berhubung tempoh DUN dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 pada Selasa.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan agar Kerajaan Negeri Sarawak berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Ia turut disertai tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian dan Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Dato Sri Tiong King Sing.
Oleh CONNIE CHIENG