
ASAJAYA: Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah penting untuk menyelesaikan pertikaian pencerobohan tanah di Kampung Tambirat dengan bersetuju untuk memperoleh empat lot tanah milik persendirian yang melibatkan beberapa rumah dan sebuah surau yang dibina tanpa kebenaran pemilik berdaftar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan tersebut diambil bagi memastikan penyelesaian yang adil kepada kedua-dua pihak, iaitu pemilik tanah yang sah dan penduduk yang telah menduduki tanah tersebut selama beberapa dekad.
“Kes ini melibatkan penduduk yang telah tinggal di tanah tersebut tanpa pemilikan rasmi dan kini ia sedang berada dalam proses pengambilalihan.
“Keputusan kerajaan untuk membeli tanah tersebut adalah bertujuan untuk memudahkan penyelesaian yang melibatkan lebih 70 rumah yang dibina di atas empat lot tanah.
“Sekali gus, kami berharap penyelesaian ini akan memberi ruang untuk penduduk menetap secara sah dengan pemberian surat hak milik tanah atau dipindahkan ke kawasan lain di bawah program peluasan kampung yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Kampung Moyan Laut, hari ini.
Tambahnya, pengambilalihan tanah akan diikuti dengan pelaksanaan langkah-langkah selanjutnya oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, termasuk semakan sempadan tanah dan pengkategorian tanah sebagai lot kediaman kampung.
“Lot-lot ini akan dikelaskan semula untuk tujuan kediaman dan bukan lagi untuk tujuan pertanian.
“Isu pencerobohan tanah ini pertama kali menjadi perhatian pada Mac 2023 apabila seorang pemilik tanah berdaftar menyedari bahawa tanahnya seluas 1.901 hektar yang dibeli pada 2014 telah diduduki tanpa izin.
“Pemilik tanah tersebut kemudian membuat laporan polis pada Mei 2023 untuk memaklumkan mengenai pembinaan 10 rumah dan sebuah surau di atas tanahnya,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa pencerobohan tersebut mungkin berpunca dari persetujuan tidak rasmi yang diberikan oleh pemilik tanah asal beberapa dekad lalu, pada waktu tanah tersebut masih dianggap tidak bernilai.
“Pada waktu itu, tanah tersebut hanya dijual dengan harga yang rendah dan tidak ada pembangunan, namun dengan kenaikan harga tanah kini, persetujuan yang diberikan dulu mungkin telah menyebabkan konflik ini timbul.
“Kerajaan Sarawak berharap dengan pengambilalihan ini, penduduk yang telah lama menduduki kawasan tersebut dapat memperoleh hak milik tanah yang sah, sekali gus memberikan kestabilan sosial dan pembangunan yang lebih teratur di kawasan tersebut,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah