Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kerajaan salur sokongan kebajikan susulan kes kematian pasangan suami isteri di Sri Aman
  • TEMPATAN

Kerajaan salur sokongan kebajikan susulan kes kematian pasangan suami isteri di Sri Aman

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Nancy Shukri ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI KPWKM di Dewan Kampung Buntal, hari ini.

SANTUBONG: Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan sokongan kebajikan serta bantuan psikososial kepada anak-anak yang terjejas susulan kes kematian pasangan suami isteri di Sri Aman, yang mendapat perhatian umum baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata pihaknya amat bersimpati dengan tragedi tersebut, lebih-lebih lagi apabila kejadian itu ditemui oleh anak mangsa yang masih bersekolah, sekali gus memberi kesan emosi yang mendalam kepada kanak-kanak terbabit.

Menurut beliau, sejurus menerima maklumat, pegawai pelindung JKM telah mengadakan lawatan kebajikan serta mengumpul maklumat berkaitan bagi memastikan kebajikan anak-anak mangsa terus terpelihara.

“Buat masa ini, anak-anak pasangan berkenaan berada di bawah jagaan keluarga sebelah ibu dan sokongan psikososial telah diberikan bagi membantu mereka menghadapi trauma,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Buntal, hari ini.

Beliau berkata, bantuan kewangan turut sedang diteliti melalui tabung kebajikan di bawah JKM, selain memastikan urusan penjagaan anak-anak tersebut dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Oleh kerana kanak-kanak ini kini dijaga oleh bapa saudara mereka, permohonan melalui mahkamah perlu dibuat bagi melantik penjaga yang layak dan sesuai, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman, semalam, dengan kesan kecederaan serius pada tubuh mereka.

Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan pasangan terbabit yang tidak sedarkan diri pada 6.55 pagi, dan pemeriksaan awal mengesahkan kedua-dua mangsa, masing-masing seorang lelaki berusia 45 tahun dan isterinya berusia 44 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan motif serta punca kejadian masih dalam siasatan, dengan usaha mengumpul bukti serta keterangan saksi giat dijalankan.

Difahamkan, mangsa lelaki bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di Lubok Antu, Sri Aman, manakala isterinya merupakan seorang jururawat.

Mayat pasangan terbabit ditemui oleh anak mereka yang sedang bersiap untuk ke sekolah, selepas menyedari kedua-dua mangsa tidak keluar dari bilik tidur.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Dewan Kampung Buntal dinaik taraf di bawah Kampung Angkat MADANI
Next: Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan, peruntukan bantuan bencana Sarawak dijangka meningkat tahun ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.