
SARIKEI: Seramai 580 penerima bantuan berbangsa Cina di Bahagian Sarikei menerima sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 100 penerima telah dijemput hadir secara fizikal ke majlis Sejambak Kasih TBC 2026 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sarikei.
“Mereka akan menerima wang sumbangan tunai sebanyak RM100 dan juga hamper perayaan.
“Bagi penerima bantuan yang tidak berkesempatan hadir pada hari ini, usah risau, kerana mereka turut akan menerima wang sumbangan sebanyak RM100 yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank masing-masing.
“Secara keseluruhannya, agihan bantuan perayaan TBC di Bahagian Sarikei melibatkan empat daerah iaitu Sarikei seramai 378 penerima, Meradong (186), Julau (10) dan Pakan (enam) menjadikan jumlah keseluruhan seramai 580 penerima,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa komitmen kerajaan dalam menyalurkan bantuan kebajikan di Bahagian Sarikei adalah amat besar dan berterusan.

“Komitmen kerajaan dalam menyalurkan bantuan kebajikan di Bahagian Sarikei adalah amat besar.
“Semangat keprihatinan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi statistik terkini.
“Berdasarkan statistik bantuan JKM Bahagian Sarikei bagi Januari 2026, jumlah keseluruhan penerima di bawah pelbagai skim bantuan mencecah 2,908 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1,314,550 bagi bulan tersebut sahaja,” katanya.
Tambahnya, perbelanjaan lebih daripada RM1.3 juta dalam sebulan yang merangkumi lapan skim bantuan utama adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan sentiasa memastikan kebajikan golongan sasar kekal menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan melalui JKM Sarawak sentiasa berusaha menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan sasar.
“Bantuan ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban tetapi juga sebagai tanda sokongan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Secara keseluruhan, sepanjang 2025, bagi lapan skim bantuan yang dilaksanakan, kita telah berjaya menyalurkan bantuan kepada seramai 57,073 kes dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM299,784,350,” katanya lagi.
Katanya, Bantuan Warga Emas (BWE) melibatkan 22,405 kes dengan peruntukan sebanyak RM156,072,600; Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak 6,692 kes berjumlah RM32,621,350 termasuk tambahan ‘top up’ kerajaan Sarawak sebanyak RM3,841,600 dan Bantuan Am (BA) melibatkan 9,943 kes berjumlah RM26,283,350.

“Kita juga menyalurkan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) kepada 3,482 kes berjumlah RM18,314,550; Bantuan Penjagaan OKU atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) kepada 2,689 kes berjumlah RM14,738,000, dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja melibatkan 11,811 kes dengan jumlah RM40,977,300 termasuk tambahan ‘top up’ kerajaan Sarawak sebanyak RM6,829,450.
“Manakala, bagi Bantuan Anak Pelihara (BAP) melibatkan 40 kes dengan jumlah RM109,750 dan Bantuan Belia-Beliawanis (BBB) melibatkan 11 kes dengan jumlah RM3,600,” katanya.
Oleh Earl Anek