
LIMBANG: Kerajaan akan terus memberi penekanan dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri dengan menambah baik infrastruktur.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata ketersambungan di kawasan kurang membangun ini akan dipastikan pembangunan lebih seimbang untuk dikecapi semua rakyat tidak kira di bandar, luar bandar mahupun pedalaman.
Katanya, projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) merupakan projek kesinambungan kepada projek SSLR Fasa 1 di Lawas yang telah mula pelaksanaan pada 2021 dan kini telah mencapai kemajuan 57.6 peratus sehingga Julai 2025.
“Projek yang penting dan dekat dengan rakyat seperti ini akan merealisasikan konsep inklusiviti yang tidak meminggirkan mana-mana rakyat walau di mana mereka berada.
“SSLR Fasa 2,ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 2023 dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM7.6 bilion.
“Pada tahun berikutnya, lantikan kontraktor dan pelaksanaan projek di tapak telah bermula, dan sehingga hari ini status kemajuan projek adalah amat memberangsangkan,” katanya pada majlis peluncuran SSLR Fasa 2 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Nanga Medamit hari ini.
Nanta berkata SSLR2 itu merupakan antara projek mega yang diamanahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kementeriannya melibatkan kawasan Miri, Limbang, Lawas dan Ba’kelalan.
Mengambil kira jumlah jajaran projek sepanjang 335km dan bagi memastikan kualiti pembinaan serta tempoh masa projek dipatuhi, pelaksanaan projek ini dibuat secara berpakej.
Apabila siap projek SSLR2 ini kelak, katanya, penduduk sekitar akan mempunyai pilihan jalan raya untuk keluar masuk antara Sabah dan Sarawak selain laluan sedia ada yang perlu merentasi laluan antarabangsa.
Di samping itu, kata beliau dengan terbinanya jalan ini kelak, penduduk di kawasan pedalaman juga bakal memiliki perhubungan jalan raya yang lebih selamat dan selesa setelah sekian lama menggunakan jalan balak sebagai jalan utama.
“Pembinaan SSLR2 dijangka dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat terutama bagi industri agro dan eko-pelancongan di samping merancakkan keterangkuman demi perpaduan nasional.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan bahawa kejayaan projek ini amat bergantung kepada komitmen dan kerjasama banyak pihak. JKR Sarawak selaku agensi pelaksana berperanan untuk memantau kerja yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor agar mengikut skop, kos dan tempoh yang ditetapkan.
“Seperti yang sering saya katakan, kita bukan semata-mata membina infrastruktur jalan raya tetapi kita juga membina masa depan pembangunan untuk negara dan anak bangsa Malaysia, ” tambahnya.
Beliau turut memohon kerjasama dan toleransi daripada semua pihak sepanjang proses pembinaan berjalan.
Katanya, tanpa persefahaman dan kerjasama padu, kelancaran pelaksanaan projek pasti akan terganggu dan mengakibatkan projek lewat atau sakit.
Oleh ADENG EDRUS