KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan meniliti keperluan mengembalikan semula tanah yang didapati tidak diguna pakai kepada kerajaan negeri masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merangkumi tanah yang diambil dengan kos yang rendah oleh Kerajaan Persekutuan sejak penubuhan negara Malaysia untuk tujuan kepentingan awam seperti kesihatan dan pendidikan.
“Saya fikir ini sesuatu yang munasabah. Umpamanya, sesuatu tanah itu dimohon pada 1980 dan diluluskan pada 1981. Sekarang 2022, belum ada pelaksanaan tetapi ada perancangan umum.
“Oleh itu, kita bagi tempoh tiga bulan untuk mendapatkan kepastian. Kalau benar tidak ada sekolah yang akan dibangunkan dan tidak ada peruntukan, maka tanah tersebut harus diserahkan kembali kepada negeri dengan harga asal.
“Kos yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri akan berdasarkan kos asal yang dibayar ketika perolehan dibuat dan bukannya nilai tanah pada masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pelaksanaan Tindakan MA63 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya di sini, hari ini.
Katanya, jawatankuasa teknikal berkaitan pelaksanaan perkara ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof yang akan melaporkan sebarang dapatan pada masa depan.
Oleh NUR AIN OTSMAN