
Fadillah dan Uggah menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu
BINTULU: Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban mangsa yang terpaksa meninggalkan kediaman serta menghadapi pelbagai kesulitan akibat bencana ini.
“Keutamaan kita adalah keselamatan nyawa. Oleh itu, saya menyeru semua mangsa banjir untuk mematuhi arahan pasukan penyelamat, berdaftar di PPS, dan menghubungi Pejabat Daerah atau Pejabat Residen bagi mendapatkan bantuan serta nasihat yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau PPS Dewan Suarah Bintulu bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di sini hari in.
Fadillah berkata, kerajaan kini sedang menyelaras penghantaran bekalan tambahan seperti tilam dan selimut dari Kuching serta kawasan lain ke Bintulu bagi memastikan keselesaan mangsa di PPS.
Selain itu, sebuah PPS tambahan akan dibuka di Paragon NAIM Street Mall di sini yang mampu memuatkan sehingga 1,000 orang bagi menampung peningkatan jumlah mangsa banjir.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pasukan penyelamat, dan sukarelawan, yang terus komited membantu mangsa banjir dalam situasi mencabar ini.
“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri mengenai langkah susulan, dan kerajaan akan menilai segala bentuk bantuan tambahan yang diperlukan selepas menerima laporan penuh dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu,” katanya.
Terdahulu, Fadillah dan Uggah menerima taklimat mengenai bencana banjir di Bahagian Bintulu daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, di bilik mesyuarat Pejabat Residen Bintulu.
Oleh Carolyne Utih