SEBELUM menutup tirai 2022, jika tiada aral melintang, negara akan ditadbir oleh sebuah kerajaan baharu dengan Perdana Menteri yang baharu.
Sekurang-kurangnya lima nama mengintai untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 termasuk yang pernah menyandang jawatan itu sebelum ini.
Pembentukan kerajaan baharu mungkin berlaku lebih awal, seawal minggu ke-3 atau akhir November andai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh sebelum pertengahan November ini, apabila bermesyuarat Khamis depan, 20 Oktober.
Ura-ura pilihan raya diadakan lebih awal, diperkuat lagi dengan saranan Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan harapan supaya SPR dapat menjalankan PRU-15 dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.
Justeru, berdasarkan kepada kiraan ini, ia bermakna parti politik mempunyai tempoh sekitar se- bulan saja untuk membuat persediaan termasuk manifesto, strategi kempen dan calon yang boleh membawa kemenangan kepada mereka.
Sejak pembubaran Parlimen diumumkan petang Ahad lalu, ramai pula netizen mengambil alih tugas SPR, dengan ‘menetapkan tarikh’ tertentu pada Oktober dan November ini sebagai hari penamaan calon dan hari me- ngundi, sedangkan SPR hanya bermesyuarat Khamis depan.
Apa pun, politik negara tidak pernah sunyi sejak selepas PRU-14 hingga menyaksikan tiga Perdana Menteri menerajui negara dalam tempoh tiga tahun selain pertelingkahan sesama sendiri dalam kalangan Menteri Kabinet sejak akhir-akhir ini.
Mungkin kerana senario ini menyebabkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa negara dan tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.
Hakikatnya, parti politik kini sudah mula ‘memanaskan enjin’ bersedia untuk memasuki gelanggang PRU-15. Malah, sejak bebe-rapa minggu lalu, parti gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah mula menjelajah ke negeri dan saban malam, ada sahaja majlis ceramah dipancarkan secara ‘live’ melalui facebook parti atau individu tertentu. Itu di sebalik bantahan kuat mereka pilihan raya diadakan segera dalam tahun ini.
Perdana Menteri ke-10
Perdana Menteri baharu?. Itu persoalan yang berlegar dalam pemikiran rakyat Malaysia sekarang, kali pertama persoalan seperti ini timbul selepas kejutan tsunami rakyat pada 2018 apabila gabungan parti dalam PH meng- akhiri penguasaan 61 tahun Ba- risan Nasional (BN) pada PRU-14.
Sebanyak 13 kali PRU sebelum itu, memang sudah boleh diramal siapa Perdana Menteri dan parti mana akan memerintah setiap kali selepas pilihan raya umum diadakan.
Kali ini, ia jauh berbeza. Malah, tiada kepastian parti atau gabu-ngan parti mana akan mendapat majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan, sekali gus berhak me- namakan calon Perdana Menteri.
Dalam keadaan sekarang, sukar bagi sebuah parti politik yang berupaya membentuk Kerajaan Persekutuan kecuali parti-parti yang menang bergabung. Selera pengundi pula bukan mudah untuk dijangka lebih-lebih lagi apabila belia berusia 18 hingga 21 tahun sudah layak mengundi.
Tetapi, UMNO yang hanya mempunyai 38 kerusi sebelum Parlimen dibubar, begitu yakin untuk menang atas nama BN (42 kerusi terma- suk 38 kerusi UMNO) dan terus memerintah, antaranya disebabkan kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021 dan Johor pada 12 Mac 2022.
Keyakinan itu juga berikutan kemenangan parti pemerintah dalam PRN Sabah dan Sarawak.
Ketika PRN Sabah ke-16 pada 26 September 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan (Warisan) apabila memenangi 38 kerusi.
GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) dan BN serta rakan sekutu Parti Bersatu Sabah (PBS) itu mempunyai kelebihan satu kerusi majoriti mudah daripada keseluruhan 73 kerusi DUN.
Perlu kerusi gabungan
PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021 dengan Ga- bungan Parti Sarawak (GPS) pim- pinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolot 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pada PRU-14 2018, kerusi dimenangi BN jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13 dan jumlah itu terus berkurangan apabila berlaku ‘lompat parti’ kebanyakannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Kini BN menjadi gabungan UMNO, Persatuan Cina Malaysua (MCA), Kongres India Malaysia (MIC) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), berbanding 14 parti sebelum 2018.
Perikatan Nasional (PN) pim-pinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah gabungan parti BERSATU, Parti Islam Se-malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
PH pula gabungan Parti Ke- adilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Buat pertama kali juga, empat parti baharu akan bertanding dalam PRU-15 iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Dari situ kita dapat lihat ada tiga gabungan parti iaitu BN, PN dan PH. Andai masing-masing tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan nanti, sudah pasti masing-masing mengintai empat parti baharu itu sebagai gabungan tambahan bagi mencukupkan jumlah kerusi.
Kedudukan GPS juga menarik perhatian – ke mana hala tujunya nanti. Sebelum Parlimen dibubar, GPS yang memiliki 18 kerusi, adalah rakan mesra Kerajaan Persekutuan pimpinan BN/PN.
Sebelum Parlimen dibubarkan, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan PH dengan 90 kerusi, BN (42), BERSATU (28), GPS (18), PAS (17), Warisan (tujuh), PBM (enam), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) (empat), BEBAS (empat) dan masing-ma-sing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bersattu Sabah (PBS) dan STAR.
Bagaimanapun, sejak selepas PRU-14, Malaysia semacam cenderung ke arah sistem dua parti iaitu antara PH dan BN ala di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Namun, di pertengahan jalan, perpecahan berlaku dalam PH apabila BERSATU keluar dalam tragedi ‘Langkah Sheraton’.
Malah, perpecahan kini ketara dalam kerajaan campuran BN/PN pimpinan Perdana Menteri ‘caretaker’ Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara kumpulan BERSATU (PN) dan UMNO (BN).
Baru-baru ini, Ismail Sabri mendedahkan tindakan Muhyiddin dan 12 menteri PN mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong membuatkan baginda kecewa dengan perkembangan politik semasa.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pembubaran Parlimen adalah rentetan daripada tindakan Muh- yiddin dan 12 menteri terbabit yang menunjukkan sikap tidak wajar.
Perpecahan ini mengundang risiko besar nanti.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak