
KUCHING: Kerajaan memperuntukkan RM30 juta tahun ini bagi menaik taraf kemudahan pos kawalan sempadan di Sarawak, sebagai usaha memperkukuh infrastruktur dan meningkatkan kebajikan anggota pertahanan yang bertugas.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, peruntukan itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan pos sedia ada, susulan pembangunan beberapa pos baharu yang telah dilaksanakan pada 2024.
Beliau berkata, ketika ini terdapat 12 pos kawalan di Sarawak termasuk tiga pos gabungan Malaysia-Indonesia yang beroperasi dengan kerjasama Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi memastikan keselamatan kawasan sempadan sentiasa terpelihara.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan sempadan, termasuk kawalan keluar masuk dan pergerakan barangan, di samping memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Gerakan Am,” katanya selepas Program Peduli Veteran MADANI di Kampung Ensebang Pelaie di sini hari ini.
Adly berkata, kerajaan turut merancang penambahan pos kawalan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun jumlahnya masih belum dimuktamadkan kerana memerlukan penelitian bersama Majlis Keselamatan Negara serta kerajaan negeri.
Sementara itu, beliau berkata, tahun ini kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan kepada RM300 juta bagi menjaga kebajikan veteran angkatan tentera, dengan sebahagian besar disalurkan kepada bantuan sara hidup dan perkhidmatan kesihatan.
“Usaha ini dilaksanakan menerusi Program Peduli Veteran MADANI yang memberi fokus kepada aspek kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan anak-anak serta peningkatan sosioekonomi veteran.
“Sebanyak 16 veteran telah diziarahi di sekitar Simunjan dan Sebuyau dalam lawatan ini bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya.
– Bernama