
PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan yakin Sarawak memiliki kepakaran, pengalaman serta keupayaan yang mencukupi untuk mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu susulan penyerahan pengurusan pelabuhan itu kepada kerajaan negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kemampuan Sarawak yang kini mempunyai ramai tenaga profesional, pengurus dan pakar berpengalaman dalam sektor berkaitan.
Menurutnya, Pelabuhan Bintulu bukan sahaja merupakan antara pelabuhan utama negara malah memainkan peranan penting dalam industri gas asli cecair (LNG) serta sektor tenaga di peringkat serantau.
“Pelabuhan Bintulu merupakan antara pelabuhan utama dari segi LNG di Malaysia dan juga rantau ini.
“Negeri Sarawak hari ini mempunyai keupayaan untuk mengurus dan mengendalikan pelabuhan tersebut dengan ada ramai cendekiawan, pengurus serta tenaga profesional yang memiliki kemahiran dan kepakaran yang telah teruji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Anwar berkata, keputusan menyerahkan pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak juga merupakan bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan perkara yang termaktub dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, walaupun proses tersebut memerlukan rundingan yang teliti dan berdepan pelbagai pandangan, ia berjaya direalisasikan hasil semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
“Saya tidak pernah merasakan ada sebarang ugutan atau kata dua dalam rundingan ini.
“Ini adalah semangat muafakat dan perbincangan yang teliti, berasaskan kefahaman terhadap Perlembagaan, janji yang telah dibuat serta keperluan untuk mengeratkan hubungan antara negeri dan Persekutuan,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat