
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menyokong aspirasi kerajaan Sarawak dalam mencapai matlamat peralihan tenaga sektor bekalan elektrik yang telah ditetapkan negeri itu, khususnya untuk meningkatkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) kepada 15 gigawatt (GW) menjelang 2035.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sokongan turut dizahirkan terhadap matlamat Sarawak menjadi hab pengeluaran hidrogen di rantau ini.
“Kerajaan pusat khususnya Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sentiasa merangkumkan aspirasi serta inisiatif peralihan tenaga yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak khususnya perancangan perbekalan dan penjanaan TBB dalam pelan perancangan nasional.
“Kerajaan juga bersedia bekerjasama dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan berhubung pelaksanaan pembangunan TBB dengan agensi kawal selia dan pihak berkepentingan di Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai komitmen kerajaan pusat bagi menyokong aspirasi kerajaan Sarawak dalam mencapai matlamat menjadi hab tenaga boleh baharu utama di Asia Tenggara.
Media melaporkan hab hidrogen Sarawak dijangka siap menjelang 2027 yang membolehkan negeri itu mempunyai loji menghasilkan hidrogen dengan kerjasama negara luar, seperti Korea yang bertindak sebagai pengguna kepada pengeluaran hidrogen.
Fadillah berkata antara langkah strategik diambil PETRA bagi merealisasikan sasaran mencapai 40 peratus penggunaan TBB menjelang 2035 ialah pembangunan loji jana kuasa solar berskala besar di bawah Program Solar Berskala Besar (LSS).
Beliau berkata PETRA turut menggalakkan pemasangan sistem solar di bumbung bangunan melalui Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo).
“Selain itu, langkah lain menerusi pembangunan loji jana kuasa TBB yang dibiayai secara langsung oleh pengguna elektrik hijau melalui Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan pembangunan projek penjanaan sumber bukan solar melalui Program Tarif Galakan(FiT) dan Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon,” katanya. – Bernama