
KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang merangka undang-undang bagi menangani kegiatan judi haram dalam talian yang dilihat semakin membimbangkan serta memberi kesan terhadap kesejahteraan sosial, khususnya golongan muda.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, rang undang-undang berkenaan dijangka dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang, tertakluk kepada kesiapsiagaan proses penggubalan.
Menurut beliau, kerajaan sedang meneliti sama ada peruntukan khas akan diwujudkan melalui akta baharu atau dimasukkan dalam kerangka undang-undang jenayah siber sedia ada.
“Jika tidak dibendung, ia boleh menjejaskan kesejahteraan sosial, terutama generasi muda. Sebab itu kerajaan memandang serius perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tahunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Parlimen Petra Jaya di Dewan Akademi Kastam Matang, hari ini.
Beliau menegaskan, tanpa mengira statistik negeri yang mencatatkan kes tertinggi, isu judi dalam talian perlu ditangani secara tegas melalui pengukuhan undang-undang agar pihak berkuasa mempunyai kuasa mencukupi untuk mengambil tindakan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan.
Dalam majlis sama, sebanyak 87 JKKK menerima geran tahunan berjumlah RM3,000 setiap satu dengan peruntukan keseluruhan RM261,000 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Geran tersebut bertujuan membantu JKKK melaksanakan mesyuarat, program gotong-royong, ceramah dan kursus, keceriaan kampung serta program kebajikan setempat.
-UKAS