
PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelaras pelaksanaan dasar karbon negara, sekali gus memastikan pendekatan yang lebih tersusun, seragam dan berimpak tinggi dalam pembangunan pasaran karbon negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut penting bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan berkaitan karbon dilaksanakan melalui rundingan bersama antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, langkah itu juga bertujuan mengharmonikan penilaian serta pembangunan sistem pendaftaran kredit karbon antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, selaras dengan komitmen negara di peringkat antarabangsa.
“Sarawak sudah meluluskan Ordinan Gas Rumah Hijau. Jadi Sarawak sudah mempunyai peraturan dan rangka kerja mereka.
“Jadi apabila kita membawa rangka kerja negara, kita perlu memastikan kita boleh harmonikan antara negara dan negeri terutamanya mengenai dengan harga kredit karbon.
“Sarawak tidak boleh mempunyai harga yang berbeza dan Persekutuan juga tidak boleh mempunyai harga yang berbeza kerana kredit karbon yang dihasilkan daripada Sarawak, ia juga akan membantu sasaran sumbangan ditentukan negara (NDC) kita di peringkat antarabangsa terutamanya apabila kita melaporkan di bawah Perjanjian Paris,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak memainkan peranan penting dalam pembangunan pasaran karbon negara memandangkan negeri itu mempunyai liputan kawasan hutan melebihi 64 peratus.
Katanya, penglibatan aktif Sarawak amat signifikan dalam memastikan pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) berjalan dengan berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap sokongan daripada semua pihak termasuk wakil rakyat dari Sarawak bagi memastikan kelulusan dasar berkenaan.
Selain itu, beliau berkata perbincangan bersama Premier Sarawak turut menyentuh kerja penentuan sempadan Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia, serta perkembangan pemulangan tanah Persekutuan kepada kerajaan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
-UKAS